Undi18: Anak muda Sarawak teruja mengundi, pilih GPS untuk masa depan

(Kiri) Elvina Stanley, Steward Panggai, Kennedy (kanan) Mohamad Zulhaikal dan Badrul Amin

KUCHING— Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi medan untuk melihat sokongan pengundi muda atau Undi18 terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Menerusi tinjauan dalam kalangan pengundi muda, rata-rata mereka berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan GPS.


Bagi Elvina Stanley, dia merasa teruja untuk mengundi buat pertama kali pada PRU15, 19 Nov ini.


“Sudah tentu perasaan saya teruja kerana pertama kali mengundi, pertama kali jadi saya tak sabarlah. Tak sabar nak mengundi.


Bagi saya, saya berpuas hati dengan kerajaan negeri yang ditadbir GPS,” kata Elvina.


Berkongsi pendapat yang sama, Steward Panggai memberitahu dia berpuas hati dengan kerajaan yang ditadbir oleh GPS dan menyeru Undi18 yang lain sama-sama menunaikan tanggungjawab.


“Marilah kita sama-sama tunaikan tanggungjawab sebagai seorang pengundi dengan turun mengundi,” katanya.


Dalam pada itu Kennedy William Belau mengingatkan Undi18 agar mengundi calon yang sesuai.


“Gunakan peluang ini untuk mengundi dan memilih pemimpin yang sesuai agar dapat memimpin Sarawak dengan dengan baik,” katanya.


Bagi Mohamad Zulhaikal Laji, dia berpuas hati dengan GPS dan berharap mereka dapat terus mentadbir untuk membawa lebih banyak pembangunan di Sarawak.


Seperti rakan-rakan Undi18 yang lain, Mohamad Zulhaikal berasa teruja dan gembira kerana dapat memilih pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawab.


“Kami mahukan pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawab. Justeru itu pilihlah calon yang betul,” katanya.


Badrul Amin Sanusi pula menyeru anak muda yang lain untuk menggunakan hak mereka dalam mengubah nasib rakyat di negeri ini.


“Jangan tak mengundi tau, rugi sangat jika tak mengundi. Setiap undian itu akan mencorak dan mengubah nasib kita untuk masa depan Sarawak yang lebih baik,” katanya.


Untuk rekod, Sarawak mempunyai kira-kira 143,609 pengundi berusia 18 hingga 21 tahun.

Next Post Previous Post