Ular tedung hitam sedang mandi terkejut disergah bomba
KAPIT: Penghuni sebuah kediaman di Kampung Balan, Sungai Amang Jalan Selirik di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung hitam dalam bilik mandi pada jam 11.12 pagi tadi.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, maka pemilik rumah bertindak menghubungi talian balai bagi menjalankan khidmat khas menangkap reptilia berbisa itu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timothy Barat, sampai di kediaman pengadu, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat seekor ular tedung hitam berada dalam bilik mandi kediaman berkenaan.
"Ular tersebut yang terkejut dengan kehadiran pasukan bomba pada awalnya dilihat cuba menyelinap keluar, namun tersangkut di celah lantai bilik mandi," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak menggunakan penyepit khas bagi menangkap reptilia berbisa itu dalam masa 20 minit.
Selepas berjaya ditangkap, ular terbabit dibawa keluar dari rumah berkenaan dan dilepaskan semula ke kawasan hutan yang jauh dari penempatan penduduk.