Tersandung tali selipar, pengawal keselamatan cedera di bahagian dahi
Anggota APM membantu mangsa yang cedera selepas tersandung tali selipar. |
MIRI—Akibat tersandung pada tali selipar ketika berjalan, seorang pengawal keselamatan sebuah pejabat kerajaan tingkat 8, di Komplek Islam Baitulmal Miri, cedera di bahagian dahi.
Dalam kejadian petang tadi, mangsa berusia 53 tahun itu mengalami luka terbuka sepanjang tujuh sentimeter di bahagian dahi kepala sebelah kiri.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Miri (APM) ,Lt (PA) Mirwan Shah Masri, kejadian ketika mangsa berjalan di dalam kawasan berhampiran tandas pejabat terbabit.
"Tali selipar mangsa berbelit menyebabkan kakinya tersandung lalu terkena bucu pintu tandas dan mangsa terus terjatuh mengakibatkan beliau tercedera," ujarnya.
Seramai lima anggota APM Miri digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan kejadian pada jam 2.37 petang.
Selepas melakukan rawatan awal di lokasi, mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.