Tanding Bebas di Batu, PKR pecat Tian Chua

Tian Chua akan menentang calon PKR, P Prabakaran (kanan) di Parlimen Batu.


IPOH—Bekas Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, akan dipecat berikutan tindakannya bertanding di kawasan itu atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).



Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata veteran PKR itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian. 


“Mengikut dasar PKR, mereka yang bertanding sebagai calon Bebas atau memilih untuk meninggalkan parti atas apa jua sebab secara automatik akan dipecat,” katanya, lapor Bernama.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Parlimen Tambun yang ditandingi beliau di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Meru di sini hari ini.  


Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan Chua bersedia menghadapi sebarang tindakan terhadapnya kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu menentang calon parti sendiri P. Prabakaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH).


Bekas Naib Presiden PKR itu menyerahkan borang pencalonan pagi tadi untuk merampas kembali kerusi Parlimen Batu yang diwakilinya selama dua penggal dari 2008.


Pada PRU 2018, Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi itu, kemudian menyertai PKR dan kini berdepan sembilan lagi calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu itu pada PRU15.
Next Post Previous Post