Sudah lama berkhidmat, Jeffery faham keperluan warga Miri

Calon GPS kerusi Parlimen Miri, Jeffery (kiri) menunjukkan poster kempennya bagi PRU15, kelihatan sama Lee.

MIRI— Pengalaman berkhidmat kepada penduduk Miri lebih 20 tahun sebagai arkitek dan kaunselor membakar semangat Jeffery Phang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di sini.


Jeffery yang bertanding mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, beliau terus bekerja di Miri sebaik sahaja tamat pengajian pada 1999 sehinggalah dicalonkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


Jeffery Phang bertemu dengan pengundi semasa kempen hari ketiga pagi tadi.


“Saya membesar di Miri dan terus berkhidmat di sini sebagai sebagai arkitek lebih 20 tahun selain lapan tahun pengalaman sebagai kaunselor Majlis Bandaraya Miri.


Dengan pengalaman lebih 20 tahun bekerja di sini, saya arif dan memahami keperluan dan aspirasi penduduk di sini. Saya akan menumpukan usaha untuk membawa lebih banyak pembangunan di sini jika diberi peluang memenangi PRU15,” katanya semasa sidang media di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau hari ini.


Hadir sama Pengerusi SUPP cawangan Senadin Datuk Sri Lee Kim Shin.


Jeffery berkata, beliau bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Miri iaitu Lee (Senadin), Datuk Sebastian Ting (Piasau) dan Adam Yii (Pujut) akan bekerjasama erat sebagai satu pasukan untuk mencapai wawasan ‘Greater Miri’.


“Selain itu membawa isu-isu yang dekat di hati saya ke Parlimen khususnya perjuangan Sarawak untuk mengembalikan hak-hak yang terhakis.


Saya juga tekad menuntut kementerian dan jabatan persekutuan di Sarawak diberi kuasa lebih untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan birokrasi,” katanya.


Jeffery bakal dicabar Chiew Choon Man dari Pakatan Harapan (PH) dan Lawrence Lai dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 19 Nov ini.


Terdahulu, Jeffery mengunjungi tempat awam termasuk tempat makan untuk mendekati pengundi di sekitar Miri dalam kempen hari ketiga.

Next Post Previous Post