SPRM siasat surat aku janji sokong Ahmad Zahid sebagai PM


KUALA LUMPUR—Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penularan surat yang dikatakan aku janji calon UMNO untuk menyokong presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri, yang tular.


Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata SPRM ada menerima laporan berhubung penularan surat aku janji berkenaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.


“Kami buka kertas siasatan berhubung perkara ini kerana ia merupakan satu kesalahan salah guna kuasa, dikatakan ada calon pilihan raya ini dipaksa tandatangan untuk menyokong seseorang menjadi Perdana Menteri," katanya kepada Bernama hari ini.


Tular aku janji dengan kepala surat UMNO yang memaparkan tandatangan Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan, yang antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan Barisan Nasional yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai perdana menteri.


Azam berkata SPRM akan memanggil pihak yang berkaitan bagi membantu siasatan kes terbabit.


Beliau berkata antara yang akan dipanggil adalah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang namanya disebut dalam aku janji itu.


Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Shamsul Anuar, yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN Comms), Datuk Azizan Md Zain membuat laporan polis di ibu pejabat polis Dang Wangi di sini hari ini berhubung penularan surat yang dikatakan aku janji itu.


Azizan berkata pihak polis diminta menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan kerana surat aku janji itu adalah palsu. 


Pasukan undang-undang BN Comms pula membuat  laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penularan surat aku janji itu secara dalam talian hari ini.


Setiausaha BN Comms Dazma Shah Daud berkata sebarang penyebaran maklumat BN hanya akan dikeluarkan melalui platform rasmi BN, BN Comms dan UMNO Online.

Next Post Previous Post