SMD Semiconductor, Melexis kerjasama tingkat industri cip mikro, Abang Johari

Abang Johari semasa sidang media selepas melancarkan SMD Semiconductor, yang juga dikenali sebagai Sarawak Microelectronics Design, di TEGAS Digital Village di sini hari ini. Gambar Jabatan Premier Sarawak

KUCHING—SMD Semiconductor akan memulakan transformasinya bagi meningkatkan dan menambah baik reka bentuk serta pembekalan litar bersepadu atau cip mikro di Sarawak melalui perkongsiannya dengan Melexis NV (Melexis) yang berpangkalan di Belgium.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu akan membuahkan hasil yang memberangsangkan memandangkan Sarawak menerima teknologi digital hijau dalam usaha membina ekonomi yang mampan, yang berkaitan dalam bidang industri semikonduktor.


“Dengan perubahan besar dalam teknologi, reka bentuk cip turut berubah berdasarkan permintaan. SMD adalah untuk menyediakan reka bentuk kepada pembuat cip Melexis dan pada masa yang sama, kami akan melibatkan diri dengan profesional untuk reka bentuk cip,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan SMD Semiconductor, yang juga dikenali sebagai Sarawak Microelectronics Design, di TEGAS Digital Village di sini hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata bakat tempatan turut dialu-alukan untuk terlibat dalam industri semikonduktor yang boleh menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) oleh kerajaan negeri.


SMD Semiconductor, entiti milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak yang diperbadankan melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), bertujuan untuk menjadi pemangkin bagi menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama untuk industri semikonduktor dan rakan reka bentuk cip strategik di Asia Pasifik.


Dalam ucapannya sebelum ini, Abang Johari mengalu-alukan rancangan Melexis bekerjasama dengan institusi teknikal dan universiti di Sarawak bagi membentuk kurikulum baharu semikonduktor untuk pengajian prasiswazah dan pascasiswazah, selain daripada pensijilan industri.


Beliau berkata inisiatif itu akan membolehkan graduan tempatan memperoleh kemahiran yang diperlukan bagi menjadi profesional dalam industri semikonduktor. 


"Platform industri-akademik juga boleh mempromosikan kerjasama penyelidikan yang dipacu oleh industri dalam bidang yang berkaitan dengan industri semikonduktor," katanya.

Next Post Previous Post