Seorang maut, dua cedera letupan paip gas di Lawas

Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada kira-kira 2 petang tadi.

LAWAS--Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam letupan paip gas Sabah Sarawak Gas Pipeline(SSGP) di Long Ugui di sini, hari ini.


Dalam kejadian itu, mangsa yang maut seorang lelaki warganegara Indonesia, Hadi Wiyono, manakala dua lagi lelaki cedera dikenali Hendrick dan Gabriel Meripa.



Umur ketiga-tiga mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.49 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian.



"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan gas pipe line milik Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP).


"Keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter, kebakaran turut melibatkan sebuah jengkaut, jentolak dan motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, pasukan Bomba mengalami kesukaran ke lokasi kerana jalan ke lokasi tidak dapat dilalui oleh jentera. 


"Perjalanan ke lokasi hanya menggunakan kenderaan Nissan Navara serta membawa peralatan operasi bergerak ke lokasi kejadian. 


"Kerja-kerja pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api untuk pemadaman kebakaran jengkaut kerana tiada sumber air terbuka di lokasi," ujarnya.


Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.


PETRONAS sahkan insiden letupan di Lawas


Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan PETRONAS mengesahkan insiden kebakaran yang berlaku melibatkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP 132 di Lawas hari ini.


Bahagian Komunikasi Media, Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS dalam kenyataannya berkata, insiden dipercayai berpunca daripada kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak ketiga berdekatan kawasan izinlalu (Right-of-Way) SSGP dan kerja-kerja tersebut tiada kaitan dengan operasi saluran paip tersebut.


"Laporan polis telah dibuat dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.


"PETRONAS telah menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan ke kawasan insiden dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitar," kata kenyataan itu.

Next Post Previous Post