Semua projek kerajaan mesti melalui tender, kata Anwar


PUTRAJAYA—Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses tata kelola kerajaan pimpinannya tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender.


Pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, Anwar berkata kerajaan pimpinannya tidak lagi boleh mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.


"Soal peraturan, perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini semua tidak boleh lagi.


"Maka untuk peringkat awal ini, saya ingin menyeru, mengajak saudara (penjawat awam) untuk sama-sama dalam pasukan, mari kita bertekad untuk menyelamatkan negara kita," katanya, lapor Bernama.


Katanya, sewaktu menerajui Kementerian Kewangan, beliau telah memberi arahan untuk tidak membenarkan ahli keluarga atau rakan terdekat mendapat kepentingan dalam projek berkaitan kerajaan.


Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov lepas berkata, beliau tidak berminat menggali masalah kerajaan terdahulu sebaliknya mahu menumpukan soal kerja dan mengangkat martabat hidup rakyat.


"Hidup rakyat secara umumnya walaupun tidaklah separah beberapa negara lain, tetapi dalam keadaan yang agak sukar, sebab itu di peringkat awal, beberapa hari ini saya tidak peduli fitnah, saya harap kita tumpu soal kerja.


"Saya tidak berminat korek kisah lama... Yang penting ialah ke depan, apa yang boleh dan patut kita lakukan dalam mempersiapkan diri menghadapi masa depan," katanya.


Majlis perjumpaan hari ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Next Post Previous Post