Seludup ketum guna van logo JBPM, 4 pegawai bomba berdepan tindakan dibuang kerja
KOTA BHARU—Empat pegawai bomba di negeri ini bakal berdepan tindakan tegas termasuk dibuang kerja sekiranya didapati bersalah terhadap penyalahgunaan dadah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata dua pegawai sepenuh masa (PSM) dan dua pegawai bomba bantuan (PBB) itu dikesan menerusi proses pemutihan yang dijalankan di peringkat jabatan, baru-baru ini.
Beliau berkata terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah adalah sesuatu yang boleh menjatuhkan imej jabatan sekali gus perlu dikenakan tindakan tegas.
"Walaupun hanya segelintir yang terbabit, kita tidak mahu mereka ini menjadi virus di dalam jabatan sehingga mencemarkan pasukan bomba.
"Golongan seperti ini boleh menjejaskan keselamatan dari segi pekerjaan dan jalan terbaik adalah dengan mengambil tindakan buang kerja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Jasamu Dikenang di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong hari ini, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Zainal berkata proses pemutihan dijalankan susulan kes penahanan seorang PSM oleh polis di Jeli pada 30 Okt lepas kerana disyaki terbabit menyeludup daun ketum dari Kedah yang turut menggunakan kenderaan milik jabatan yang diklon.
"Kita mahukan anggota yang lebih berdisiplin dan berintegriti. Sekiranya dibuang kerja kerana terbabit dengan dadah, ia pasti amat memalukan dan menjejaskan keluarga sendiri.
"Dalam soal ini, JBPM Kelantan akan terus bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan setiap anggota dan pegawai kita bersih daripada kegiatan seperti itu," katanya.
Sementara itu, Zainal berkata lebih 1,200 anggota PSM, PBB dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) sudah bersiap siaga bagi menghadapi gelombang kedua monsun timur laut di negeri itu.
Beliau berkata persediaan menghadapi banjir turut melibatkan 47 bot dan tujuh lori bagi kegunaan mengangkut dan memindahkan mangsa sekiranya berlaku banjir besar.