Selepas bertapak di Sabah, Pejuang intai kerjasama dengan GPS
Dr Mahathir semasa sidang media di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. |
KOTA KINABALU— Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan rasmi parti itu di Sabah.
Beliau berkata perasmian penubuhan parti itu di Negeri Di Bawah Bayu sudah lama dirancang namun banyak kekangan yang dihadapi dan hanya dapat dilaksanakan hari ini.
"Saya berharap Pejuang dapat diterima oleh rakyat Sabah kerana parti ini mampu menjadikan Sabah lebih maju ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini hari ini, lapor Bernama.
Ditanya mengenai kerjasama dengan parti lain, Dr Mahathir yang Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata banyak penilaian perlu dilakukan bagi tujuan itu.
"Kita mahu parti yang bersih dan tidak mempunyai masalah… seperti pemimpinnya yang masih berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah," katanya.
Beliau juga berkata sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) ingin bekerjasama dengan GTA, pihaknya akan mempertimbang perkara itu.
Mengulas mengenai manifesto GTA, Dr Mahathir berkata ia akan diumum dalam masa terdekat.
"Manifesto itu bukan kitab suci… kerana manifesto adalah hasil yang dibuat oleh bukan orang politik… kadang-kadang kita mahu buat tetapi kita tidak dapat laksanakan. Oleh itu, GTA akan membuat manifesto yang boleh dilaksanakan.
"Bukan seperti manifesto yang mahu hapuskan tol… kita tidak dapat hapuskan tol kerana kerajaan tidak ada duit untuk menjaga jalan berkenaan. Semua duit hanya untuk bayar hutang," katanya.
Terdahulu, ketibaan beliau di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu petang tadi disambut oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata tiada perbincangan khusus yang dilakukan dengan Hajiji.
"Kami hanya bincang mengenai pembangunan negeri Sabah," katanya ringkas.
GTA merupakan pakatan empat parti politik iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).