Sarawak kekurangan pakar kaunseling, kata Abang Johari

Abang Johari berucap merasmikan majlis Malam Gala Konvensyen Kaunseling Antarabangsa (ICC) 2022 di Hotel Riverside Majestic, dekat sini, malam tadi. Gambar | Teks Pejabat Premier Sarawak

KUCHING—Dengan perubahan kepada landskap sosio-ekonomi Sarawak permintaan terhadap khidmat pakar psikologi dan kaunselor dijangka semakin meningkat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.


Sehingga kini Sarawak hanya mempunyai 488 kaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan berkhidmat untuk masyarakat di sini, ujar beliau. 


Abang Johari ketika perasmian majlis Malam Gala Konvensyen Kaunseling Antarabangsa (ICC) 2022 di Hotel Riverside Majestic, dekat sini, malam tadi. Gambar | Teks Pejabat Premier Sarawak


Premier Sarawak berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena majlis Malam Gala Konvensyen Kaunseling Antarabangsa (ICC) 2022 di Hotel Riverside Majestic, dekat sini, malam tadi.


“Sarawak mempunyai sejumlah 2.9 juta penduduk, ini bermakna seorang kaunselor untuk 6,000 orang.


“Perkara ini jelas sekali menunjukkan, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk pakar psikologi dan kaunselor di negeri ini.



“Menyedari kepentingan perkhidmatan kaunseling dan psikologi, Sarawak menyasarkan ‘Satu Komuniti Satu Kaunselor’ sebagai visi untuk mencapai kesejahteraan secara holistik dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.


Tambahnya, atas keperluan itu beliau telah mengarahkan penubuhan Pusat Kaunseling Psikologi Komuniti Sarawak (SPCC).


“Ia merupakan inisiatif khas Kerajaan Sarawak untuk menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan rakyat kita, terutamanya kepada mereka yang mengalami gangguan psikologi,” ujarnya.

Next Post Previous Post