Rubiah mengundi di kampung halaman
Rubiah bersama kedua-dua ibu bapa dan pengundi yang lain selepas membuang undi di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Parang dekat sini pagi tadi. |
KOTA SAMARAHAN— Calon Gabungan Parti Sarawak(GPS) kerusi Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Tanjung Parang pagi tadi.
Rubiah hadir ke pusat mengundi sekitar jam 10 pagi dan selesai membuang undi sekitar jam 10.17 pagi.
Rubiah Wang membuang undi di SK Tanjung Parang. |
Selesai mengundi, beliau kemudian melawat pusat mengundi di sekitar Samarahan.
Terdahulu, Rubiah dilihat bersama kedua-dua ibu bapa beliau Wang Sulai, 82, dan ibunya Utih Sirat, 83, yang hadir ke pusat mengundi di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Parang dekat sini sekitar jam 8.30 pagi.
Mereka turut ditemani adik Rubiah iaitu Hayaty Wang, 42 tahun.
Sebanyak 42 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat 10 pagi ini di kawasan parlimen tersebut.
Parlimen Kota Samarahan mempunyai seramai 82,229 pemilih berdaftar. Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru dalam PRU-15 membabitkan calon GPS Rubiah, 54; dan calon Pakatan Harapan (PH) Abang Abdul Halil Abang Naili, 62.
Sementara itu, tinjauan di empat lokasi pusat mengundi iaitu SK Tanjung Parang, SK Dato Tra'oh, Kampung Muara Tuang dan SK Merdang Gayam mendapati proses mengundi berjalan dengan lancar.
Keadaan cuaca yang baik pada sebelah pagi membolehkan orang ramai keluar mengundi.
Warga emas antara yang paling awal turun mengundi sejak pusat pengundian dibuka mulai jam 7.30 pagi.