PRU15: Masing-masing percaya boleh menang tanpa gabungan, persepsi atau kebenaran?

Ramai pemerhati meramalkan tiada mana-mana parti politik yang mampu memperoleh majoriti menubuhkan kerajaan pasca PRU15. Gambar kredit Anne Farrah Abdullah

KUALA LUMPUR-- Sejak awal pembubaran Parlimen 10 Okt lepas, ramai termasuk pemerhati, penganalisis politik dan institusi penyelidikan tertentu membentangkan hasil kajian dan tinjauan masing-masing yang meramalkan tiada mana-mana parti politik yang mampu memperoleh majoriti menubuhkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Menghampiri hari pengundian Sabtu ini, gabungan parti-parti politik utama, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin galak memainkan naratif bahawa gabungan mereka mampu mendapat jumlah majoriti untuk membentuk kerajaan.


Terdapat parti politik dengan penuh yakin menyatakan mereka mampu memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan manakala dua lagi parti masing-masing melahirkan keyakinan menang lebih 112 kerusi untuk menuju ke Putrajaya, tanpa bergabung dengan mana-mana parti.


Malah beberapa kajian pusat penyelidikan pendapat awam seperti Pusat Inisiatif Dasar Invoke (Invoke), Institut Darul Ehsan (IDE) serta YouGov, firma penyelidikan pasaran dan analisis data,  ketika ini mendakwa gabungan PH sedang mendahului parti-parti lain yang bertanding.


Berikutan dapatan daripada kajian sentimen pengundi yang dibuat pelbagai pihak, ia memperlihatkan kecenderungan responden kepada satu-satu parti, yakni secara tidak langsung memberi gambaran bahawa ada gabungan parti politik itu mampu memecah kebuntuan itu.


Jika difikirkan sejenak, adakah tepat dakwaan itu? Mungkinkah strategi pihak-pihak yang berpolitik ini hanyalah untuk membina persepsi bersandarkan penilaian sendiri serta cuba mempengaruhi minda dan persepsi awal dalam kalangan pengundi.


Penganalisis Politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul berpendapat memasuki minggu kedua kempen, impak  kempen melibatkan sesuatu parti itu mula menunjukkan hasil yang positif, sekali gus memperlihatkan kajian yang meramalkan bahawa tiada parti politik yang akan mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan, dapat ditangkis.


"Jika orang lain nampak PH mendahului, saya pula nampak kemungkinan BN mampu membentuk majoriti mudah berdasarkan gerak kerja kempen serta rekod cemerlangnya pada lima pilihan raya kecil (PRK) dan dua pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung sepanjang penggal lepas," katanya kepada Bernama.


Beliau berkata kajian badan-badan bebas itu tidaklah mewakili keseluruhan lebih 21 juta pengundi berdaftar PRU15 berikutan kaji selidik itu hanya dibuat membabitkan jumlah responden yang terhad.


"Saya melihat ramalan yang dikeluarkan badan bebas konon parti itu mendahului PRU, lebih kepada sekadar perang psikologi atau propaganda bagi meyakinkan pengundi terutamanya pengundi atas pagar, pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik memangkah parti itu," katanya.


Perkara ini menjadi aspek yang boleh difikirkan semula oleh pengundi apabila dua keputusan pada PRN Melaka dan Johor pada Nov tahun lepas dan Mac tahun ini menunjukkan ramalan awal berbeza dengan keputusan sebenar.


Misalnya di Melaka, pandangan awal pemerhati bebas menyatakan BN hanya mampu memenangi 10 atau kurang kerusi, berbeza dengan sasaran Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebanyak 18 kerusi dan akhirnya keputusan sangat berbeza iaitu BN menyapu 21 kerusi daripada 27 kerusi sekali gus mencatat kemenangan lebih tiga perempat dengan Pakatan Harapan pulang dengan tangan kosong.


Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat ramalan bahawa tiada parti yang akan memperoleh majoriti untuk menubuhkan kerajaan tidak semestinya boleh diterima secara bulat-bulat kerana PRU kali ini menyaksikan jumlah pengundi semakin ramai iaitu seramai 21.1 juta pemilih berbanding 14.9 juta pada PRU14.


Beliau berkata sesetengah kajian yang menjadikan media sosial sebagai kayu ukuran sokongan terhadap sesebuah parti dengan menyatakan bahawa jika terdapat semakin ramai yang like dan komen pada Facebook, Twitter, TikTok, YouTube dan Instagram parti terlibat, maka parti itulah yang dianggap berpotensi untuk menang, belum dapat disahihkan.


"Namun kita kena ingat, setiap calon parti mempunyai pendekatan yang berbeza-beza, bergantung kepada kawasan dan demografi.


"Ada yang masih lagi menggunakan pendekatan konvensional melawat dari rumah ke rumah yang dilihat lebih mendekati pengundi dan itu secara tidak sedar dapat menambat hati pengundi atas pagar, seterusnya melonjakkan kemenangan kepada calon dan parti itu," katanya.


Menyentuh mengenai kajian sikap dibuat oleh badan bebas, Sivamurugan berkata ia boleh dijadikan sebagai panduan, namun ia tidak wajar untuk dijadikan sebagai ketetapan atau faktor wajib.


"Kita kena tahu juga sejauh mana badan-badan ini bebas dan apa panduan tertentu mereka dalam menyediakan kaji selidik itu? Jadi sebagai pengundi, kita perlu ada rasional dalam menentusahkan dakwaan itu," katanya mengakui keberkesanan kempen BN dilihat lebih dominan dan mampu diterjemahkan dalam bentuk kemenangan.


Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis di Bera berkata pengundi tidak wajar terpengaruh dengan ramalan atau dapatan kajian badan bebas mengenai sentimen penerimaan pengundi terhadap BN didakwa ketinggalan pada PRU15 kerana ia hanya propaganda pihak tertentu.


PRU kali ini menyaksikan seramai 945 calon merebut saingan di kerusi Parlimen dengan PH mendominasi saingan pencalonan apabila bertanding di 220 kerusi Parlimen, sementara BN meletakkan calonnya di 178 kerusi Parlimen.


Bagi PN, calon mereka dipertaruhkan di 171 kerusi Parlimen, termasuk 22 kerusi di Kelantan dan Terengganu yang menggunakan logo PAS, diikuti Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), dengan 116 kerusi.

Next Post Previous Post