PRU15: Anwar belum cukup kerusi nak jadi PM, pengundi Sabah-Sarawak tolak PH
KUCHING-- Trend baharu dalam kalangan pengundi pada masa kini dilihat lebih cenderung memilih calon daripada memilih parti atau gabungan yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Menurut pemerhati politik, Azizi Safar, di sesetengah kawasan, kekuatan calon yang bertanding menjadi penentu kemenangan bukan parti yang diwakili calon berkenaan.
"Di sesetengah kawasan, kekuatan calon yang bertanding akan jadi penentu kemenangan, bukannya parti yang diwakilinya.
"Trend baru pengundian pada PRU15 ini. Ramai pilih calon dari pilih parti," kata bekas setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang itu dalam hantaran Facebooknya.
Tambah Azizi, berdasarkan sumber Pakatan Harapan (PH) dilihat sedang mendahului dari segi meraih sokongan di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, di Sabah dan Sarawak, sokongan terhadap PH amat tercorot.
"Mengikut sumber, PH sedang mendahului di Semenanjung tapi tercorot di Sabah dan Sarawak.
"Setakat kelmarin, hanya DAP yang boleh menang kerusi di Sarawak. PH tak mendahului satu kerusi pun di Sabah," ujarnya.
Jelasnya lagi, PH mungkin menjadi 'parti besar' yang menang kerusi tetapi masih tidak cukup untuk tubuh Kerajaan Persekutuan.
"Ini adalah kerana parti-parti yang menguasai kerusi-kerusi Sabah dan Sarawak sudah nyatakan tidak akan kerjasama dengan PH," katanya.
Keadaan ini katanya akan menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 ini.
"Bila ada terlalu banyak gabungan politik bertanding dalam pilihan raya, maka Kerajaan Campuran adalah hasilnya," ujarnya lagi.
Selain itu, Azizi memberitahu, di Semenanjung terdapat 165 kerusi parlimen, Sabah 25 dan Sarawak 31 kerusi serta Labuan 1 kerusi.
"Pada PRU14, PH menang 10 kerusi di Sarawak. Pada PRU15 ini, PH dijangka akan gagal pertahankan kerusi-kerusi dimenangi pada PRU14.
"DAP dijangka hanya mampu kekal di 4 kerusi saja, manakala PKR akan kalah semua kerusi ditandingi mereka di Sarawak.
"Nasib serupa menanti PH di Sabah. Pertandingan sebenar untuk kuasai Kerajaan Persekutuan pada PRU15 ini adalah di 165 kerusi Parlimen di Semenanjung," katanya.
Walaupun katanya, pimpinan PH kata meraka yakin menang lebih 100 kerusi pada PRU15 ini, namun ramai pemerhati dan penganalisis politik kata itu hanya cakap untuk menunjukkan konfiden tingga sahaja.
"Pemimpin DAP Sarawak dilaporkan berkata PH perlu menang 12 kerusi di Sabah dan Sarawak untuk membolehkan PH tubuh Kerajaan Persekutuan baharu selepas PRU15
"Kata Chong, Ketua DAP Sarawak, "Barisan Nasional (BN) berkemungkinan menang antara 32 hingga 42 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan menang 42 hingga 52 kerusi," dedahnya.
Oleh itu, kata Azizi, jika BN dan PN menang sebanyak 94 kerusi Parlimen di Semenanjung, ini bermakna PH hanya menang 71 kerusi sahaja dan dicampur 12 kerusi di Sabah dan Sarawak, belum cukup membentuk majoriti mudah iaitu 112 kerusi.
"Hanya 83 kerusi sahaja. Macam mana Rafizi Ramli dan Anwar Ibrahim boleh kata PH sudah ada 100 kerusi?
"Pemimpin-pemimpin BN dan PN pun kata mereka yakin parti mereka boleh menang majoriti mudah di Semenanjung dan tubuh Kerajaan Persekutuan bersama parti-parti Sabah dan Sarawak," katanya.