PPKS meterai MoU dengan tiga pemain industri bangun latihan berkaitan minyak dan gas

PPKS hari ini jalin kerjasama dengan tiga pemain industri bangun program latihan berkaitan minyak dan gas.

MIRI—Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan tiga buah pemain industri gas dan minyak hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan kursus dan program latihan berkaitan minyak dan gas.


Memorandum itu ditandatangani di sebuah hotel di sini hari ini antara PPKS dengan Petronas Carigali Sdn Bhd, Mui Lee Sdn Bhd dan Persatuan Pekerja Minyak & Gas Sarawak (SOGWA) di hadapan Pengerusi PPKS dan Pro-Canselor Kolej Universiti i-CATS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Datuk Husain.


Petronas Carigali Sdn Bhd diwakili pengurus besar kanannya Anuar Ismail;  Mui Lee Entreprise ialah pengarah urusannya Chiew Pak Chung manakala SOGWA diwakili pengerusinya Jamal Abdullah.


Pengarah Eksekutif PPKS, Hallman Sabri berkata, usahasama ini diharap dapat membangun dan meningkatkan kebolehpasaran penduduk di Sarawak dalam industri terbabit.


"MoU ini merintis jalan kepada industri dan Sarawak Skills untuk mensinergikan kepakaran dan sumber kolektif mereka dalam memajukan usaha murni pembangunan Bakat,” katanya.


Di bawah MoU ini, ketiga-tiga organisasi bekerjsama membangunkan kursus dan program latihan termasuk penerapan teknologi terkini mengikut piawaian kelestarian alam sekitar global serta mengubah operasi dan amalan sedia ada.


Hallman menambah, pelbagai sektor industri telah memainkan peranan utama dalam mengurus dan menentukan hala tuju PPKS.


“Lebih 70 industri dari pelbagai sektor memberikan sokongan kepada pusat ini," ujarnya.


Turut hadir Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sarawak selaku Naib Pengerusi Kemahiran Sarawak Julaihi Mohd Mantali, Setiausaha Kemahiran Sarawak Datuk Maznah Dazmi, Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pengarah Kampus Sarawak Skills Miri, Syuhira Mohd Zain.

Next Post Previous Post