PN bertanding di Sarawak adalah politik, bukan terus menjadi lawan- Abdul Karim

Menurut Abdul Karim, hubungan GPS dan PN masih baik

KUCHING— Hubungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN) masih baik walaupun PN bertanding di empat kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.


“Ini (tindakan PN bertanding di Sarawak) adalah politik, bukan bererti bila mereka (PN) bertanding di Sarawak mereka terus jadi lawan GPS.


“Malah sebelum Parlimen bubar kita pernah bersama PN (bentuk kerajaan di peringkat Persekutuan), perhubungan kita masih baik,” katanya selepas menghadiri sidang media Sarawak Fair 2022 di sini hari ini, lapor Bernama.


GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).


Abdul Karim berkata mengambil semangat demokrasi, GPS akan masuk gelanggang berdepan PN di empat kerusi Parlimen itu iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar.


“Walaupun dengan hati yang berat kami akan berdepan dengan mereka (PN) dan kita akan beri ruang kepada pengundi di empat kerusi tersebut untuk menentukan pilihan mereka,” katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal 15 Nov.

Next Post Previous Post