PM Anwar mula tugas secara rasmi di Perdana Putra

Kenderaan yang membawa Anwar tiba di perkarangan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri kira-kira 9.55 pagi tadi. Gambar Astro Awani

PUTRAJAYA— Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di sini.


Ketibaan Anwar di blok utama Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri kira-kira 9.55 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 


Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.


Anwar yang mengenakan baju Melayu lengkap bersamping kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan berkenaan, lapor Bernama.


Ahli Parlimen Tambun itu kemudian mengaminkan doa yang dipimpin Pegawai Integriti Jabatan Perdana Menteri (JPM) Muhd Redza Ahmad sebelum menandatangani Buku Selamat Datang.


Terdahulu, Anwar sempat melambai tangan ke arah pengamal media yang 'berkampung' di luar pekarangan Perdana Putra menunggu ketibaan beliau untuk memasuki Pejabat Perdana Menteri.


Beliau turut beramah mesra dengan penjawat awam yang menunggu ketibaan beliau di lobi Perdana Putra.


Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam. 


Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.


Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Next Post Previous Post