PKR turunkan bekas Pembantu Am Rendah lawan Menteri Kanan di Petra Jaya?
SELESAI sahaja majlis penamaan calon pada hari Sabtu, wartawan mulai membuat bacaan tambahan tentang tokoh-tokoh yang diturunkan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak.
Nama-nama besar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat menghiasi kerusi-kerusi tradisi parti itu di Baram, Hulu Rajang dan Sibuti.
Malangnya, hasrat untuk menyaksikan tokoh berwibawa membawa panji PKR di Petra Jaya meleset apabila mereka meletakkan seorang novis politik yang langsung tidak dikenali umum, serta mempunyai latarbelakang kerjaya yang sangat minimalis bersandarkan Sijil Pelajaran Malaysia.
Kajian serta risikan pasukan kami mendapati calon yang diamanahkan PKR untuk menakluki kerusi Petra Jaya memulakan kerjayanya di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Malangnya, beliau hanyalah seorang PAR – pembantu am rendah, bukan ahli akademik apa lagi cendekiawan bertaraf profesor.
Apakah pengundi Petra Jaya di mata PKR dan PH begitu jumud sehingga Anwar Ibrahim boleh meletakkan seorang calon yang tidak punya ijazah sedangkan kawasan ini merupakan sebuah kerusi urban Melayu yang berpendidikan tinggi.
Pakatan Harapan (PH) ketandusan calon berwibawa?
Adakah PKR begitu terdesak, serta dipulaukan oleh golongan profesional Melayu Sarawak?
Pilihan Raya Umum merupakan suatu proses untuk memilih pemimpin bagi mewakili rakyat Sarawak ke peringkat tertinggi pembuat dasar di Dewan Rakyat. Bukannya pertandingan liga kampung atau pesta keraian. Ia proses memilih pemikir, tokoh serta ketua bagi membawa isu dasar yang mencorakkan nasib Anak Sarawak dalam persekutuan Malaysia.
Tindakan PKR sekadar menurunkan seorang novis yang memulakan karier sebagai Pembantu Am Rendah UiTM sebelum berhenti hampir 20 tahun yang lalu sebagai Pembantu Belia dan Sukan Kanan untuk mencabar Datuk Sri Fadillah Yusof di kerusi Petra Jaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini menimbulkan begitu banyak persoalan.
Apakah ini sahaja yang mampu ditawarkan oleh PKR? Kita tidak perlu menjadi seorang genius untuk menilai kerana perkataan “Pembantu” di hadapan jawatan terakhir itu berbanding “Menteri Kanan” terlalu jauh, bagaikan langit dengan bumi.
Seorang ahli parlimen yang bakal mewakili Sarawak ke peringkat nasional seharusnya mempunyai kelayakan tinggi, berpengalaman luas dalam soal pentadbiran atau setidak-tidaknya anak muda yang terbukti berkualiti dan berwibawa. Bukan calon separa umur, yang tiada apa-apa kerana ditakuti sekadar menjadi boneka atau patung arca yang digunakan untuk menghias pentas.
Siapa dia Sopian Julaihi, peguam atau loyar?
Pengumuman Pengerusi PH Datuk Sri Anwar Ibrahim untuk meletakkan Sopian Julaihi, seorang individu yang namanya langsung belum pernah di dengar media atau dicatatkan oleh mana-mana penerbitan sebelum ini, membuatkan ramai pihak bertanya mana perginya tokoh PKR Sarawak?
Di zaman kegemilangan PKR Sarawak, calon-calon yang diturunkan berkaliber dan mempunyai latar belakang pendidikan yang hebat. Baharuddin Mokhsen adalah peguam, manakala Wan Zainal Abidin Senusi, akauntan bertauliah. Selepas lebih 20 tahun, PKR tiada pelapis di Petra Jaya, mengapa?
Kalau ada pun yang mempunyai pendidikan tertiari macam Iswardy Morni, seorang graduan dari sebuah universiti luar negara tetapi selalu bercakap bagaikan orang mereng, sehingga ditangkap kerana mencela DYMM Yang Di Pertuan Agong.
Anehnya Iswardy selalu membuat jamuan makan malam Fundraiser untuk melatih pemimpin pelapis. Hasilnya di mana?
Kail panjang sejengkal, jangan menduga lautan dalam
Dalam pada itu, Sopian Julaihi menghantar mesej kepada pengundi bahawa Petra Jaya memerlukan ahli parlimen yang baharu untuk membawa perubahan di Petra Jaya.
“Seperti yang sedia maklum calon (Fadillah) telah diberi amanah 10 tahun yang lepas, tetapi apa yang kita lihat sekarang Petra Jaya masih dalam keadaan yang sama sehingga sekarang.
“Adakah rakyat Sarawak masih memberi kepercayaan, kita dah bagi 10 tahun untuk menyelesaikan tetapi kita lihat. Saya dah berumur 54 tahun dari dulu sampai sekarang, contoh simple Jalan Matang pagi-pagi kita lihat sesak.
“Masalah ini menyusahkan rakyat. Petra Jaya adalah bandar raya , bila kita cerita bandar raya, sepatutnya dari segi fasiliti ada dalam keadaan baik, dari segi standard dan sebagainya,” kata Sopian.
“Masalah fasiliti contoh jalan raya, sekolah dan paling utama hospital tempat orang ramai untuk mendapat rawatan yang sepatutnya siap pada 2018 tetapi sekarang kena siap pada 2026. Pada hal kita tahu dan sedia maklum yang sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah adalah ahli parlimen yang bertanding pada PRU kali ini,” tegas Sopian.
Beliau berkata demikian selepas penamaan calon di dewan Al-Muneerah SMK Petra Jaya Sabtu lalu.
Sopian, menegaskan sudah sampai masanya suara-suara pengundi di Petra Jaya dibawa dan di dengar di Parlimen, bukan sekadar retorik.
“Enough is enough, this time for us to bring something..,” katanya.
Sopian berjanji akan bekerja keras dengan Iswardy Morni dan pasukan PH yang lain untuk menyelesaikan isu yang belum ‘diselesaikan’ atau dilaksanakan oleh ahli parlimen sebelum ini.
Sidang media sulung Sopian selaku calon PH ini membuatkan wartawan teringat peribahasa Melayu, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Maksudnya, jika pengetahuan hanya sedikit, janganlah hendak melawan orang-orang yang lebih banyak pengetahuannya.
Mr Nice Guy tenang diasak pencabar
Fadillah ketika ditemui berkata, terserah kepada rakyat untuk menilai kerana keutamaan sekarang ialah kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRU15.
GPS memerlukan kemenangan besar untuk suara yang lebih kuat di Parlimen seterusnya mempunyai kuasa dalam membuat dasar negara. Fadillah cukup konsisten dalam hal ini selaku bekas ketua whip GPS di Parlimen.
“Dengan kemenangan besar, kita akan mempengaruhi dasar -dasar negara. Jika penggal yang lepas kita berjaya dalam menuntut Pindaan Perlembagaan Perjanjian Malaysia (MA63) dan menambah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) di peringkat persekutuan.
“Dari segi pentadbiran, banyak kuasa diberikan kepada Sarawak dan kita akan meneruskan tuntutan-tuntutan yang belum selesai. Jadi perjuangan ini memerlukan rakyat Sarawak untuk memberi sokongan penuh kepada GPS,” kata Fadillah.
Tambahnya, sokongan penuh pengundi memastikan GPS dapat melunaskan segala tuntutan dan memberi fokus dalam memastikan kestabilan negara dan Sarawak.
“Kemenangan ini penting supaya suara kita untuk mempertahan Sarawak dan meneruskan perjuangan menuntut hak dapat dicapai.”
Beliau dalam pada itu berkata, GPS mempunyai kelebihan kerana mempunyai pengalaman di peringkat persekutuan berbanding parti lawan.
Harus diingat, ahli parlimen yang kita pilih pada 19 Nov ini haruslah seorang dari parti yang mempunyai rekod cemerlang dan pengalaman mentadbir di peringkat negeri dan persekutuan.
Petra Jaya tidak membangun?
Adalah terlalu dangkal bagi Sopian berkata Petra Jaya masih sama dalam masa 10 tahun. Kawasan berpenduduk padat di Matang sepatutnya dihubungkan oleh tiga jalan raya utama – jalan berkembar dua hala FAC dan jalan berkembar Sungai Maong sudah siap.
Malangnya kerja naiktaraf Jalan Matang mengalami masalah kontraktor yang parah akibat Covid-19.
Mungkin Sopian dan para penasihat beliau tidak menyedari bahawa pada tahun 2012-2013 Daerah Perniagaan (Business District) atau Pekan atau bahasa orang "Kebanyakan" Pasar Metrocity di Matang baru siap. Kedai yang masih kosong bagaikan pasar koboi berhantu bagi orang luar yang lalu lalang menghantar anak ke sekolah berasrama penuh di Petra Jaya.
Dalam tempoh 10 tahun sebenarnya begitu banyak pembangunan berlaku. Jalan berkembar dua lorong dari arah Stephen Yong Link terus merentas ke Bandar Baharu Batu Kawah lalu memintas Jalan Stapok, Sungai Maong terus ke Metrocity, Matang dan masuk ke Jalan FAC melalui Jalan Camar. Jalan FAC pula memberikan kita keselesaan memandu dari arah Santubong sehingga ke Rambungan. Kerja-kerja membina jambatan Rambungan serta naiktaraf jalan sedang rancak berlaku sebaik sahaja ancaman Covid19 reda.
Tiada perubahan? Sopian dan Iswardy perlu hidup di Petra Jaya untuk memahami serta merasai arus kemajuan. Bulatan Abang Kipali sudah bertukar menjadi underpass dan jalan-jalan sesak kritikal dahulu mulai selesa dilalui, cuma terganggu dek kerja pembentungan sisa kumbahan yang dijalankan di seluruh kawasan padat penduduk Petra Jaya.
Daerah perniagaan mesra anak muda Bumiputera
Dari bandar kosong yang sunyi ketika disiapkan 10 tahun yang lalu, kini Metrocity Matang begitu sinonim dengan penglibatan anak muda dalam perniagaan.
Bermula dengan pasar malam yang diterajui beberapa anak muda, kini ia semakin berkembang. Cabaran yang dilalui anak-anak muda ini termasuk ditawarkan insentif oleh cukong-cukong hartawan yang mahu merebut peluang ini dari tangan mereka.
Anak-anak muda ini sebaliknya memilih untuk terus berjuang, dan bekerjasama dengan Pergerakan Pemuda PBB, parti tulang belakang kerajaan Sarawak untuk mengembangkan perniagaan serta berpadu tenaga menyediakan kemudahan.
Sikit demi sedikit, dari pasar malam yang mulai terkenal ia menular dengan pembukaan kedai makan, kedai membaiki peranti, kedai gunting rambut, restoran makanan segera corndog, kedai burger, kedai minuman, makanan korea, sup tulang serta bermacam-macam lagi perniagaan hipster menyerlahkan kematangan anak-anak muda Petra Jaya dalam dunia perniagaan.
Perlu ditegaskan mereka usahawan tulen, bukan Ali Baba buta matanya cuma mengharapkan lima per sen atau meminta 10 per sen seperti pertuduhan terhadap Lim Guan Eng.
PH perlu merasai denyut nadi rakyat
Iswardy dan Sopian cuma cenderung melihat kekangan seperti Jalan Matang yang sesak akibat pertambahan jumlah kenderaan persendirian dalam masa 10 tahun ini di Sarawak.
Dengan adanya sumber pendapatan, peningkatan taraf hidup, maka semestinya jumlah kenderaan melonjak tinggi. Semua sudah mampu, serta tidak mengalami kesukaran untuk mendapat pinjaman bank kerana mempunyai pendapatan tetap. Bank tidak akan meluluskan pinjaman kenderaan jika pemohon sengkek.
Mungkin mereka tidak sedar atau menjangkakan Sarawak mencatatkan pertambahan bilangan kenderaan melebihi 600,000 bagi tempoh 2010 hingga 2020.
Untuk makluman saudara Sopian, keadaan ini telah menyebabkan berlakunya masalah kesesakan lalu-lintas terutamanya di bandar besar seperti Kuching dan kawasan sekitar yang memerlukan penyelesaian segera.
Maka, sekali lagi kenyataan saudara Sophian bahawa tiada perubahan di Petra Jaya dalam masa sepuluh tahun yang lalu dengan sendirinya terjawab. Apakah mereka hidup di Petra Jaya, atau Petaling Jaya?
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas baru-baru ini memberi jaminan bahawa projek naik taraf dan pembesaran Jalan Matang akan siap dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.
Uggah sendiri berjanji akan memantau projek ini dan mempastikan kontraktor penyelamat berkerja mengikut spesifikasi dan jadual.
Begitu juga hal nya dengan Hospital Petra Jaya, sepertimana projek Hospital Sri Aman, ia memang melalui saat gelap sehingga kerajaan terpaksa memecat kontraktor dan melantik kontraktor Penyelamat.
Projek sudah ditender semula pada tahun 2020 dan Blackfox Engineering Sdn Bd telah dilantik sebagai kontraktor baharu dengan kos RM410,300,000.00
Umum juga sudah diberitahu baru-baru ini bahwa kemajuan kerja kontraktor penyelamat mendahului jadual asal dan hospital dijangka beroperasi tahun 2024 mengikut jadual.
• Tarikh Milik Tapak : 11.01.2021
• Tarikh Siap Asal : 07.01.2024
• Tarikh Siap Semasa : 25.11.2024
Kita perlu mengambil-kira faktor cuaca dan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak telah melambatkan kerja kontraktor penyelamat ini, namun begitu setakat 30 Julai 2022 : 25.9% siap mendahului jadual (25.4%).
Begitu juga tuduhan dangkal menyatakan sektor pendidikan diabaikan.
Janganlah kita lupa, hari ini selain Politeknik Kuching yang sudah melahirkan ribuan graduan serta tenaga kerja professional terletak di Petra Jaya, kita juga sudah ada MRSM Kuching, SM Sains Kuching, SM Sains Kuching Utara, Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Agama, Kolej Vokasional, serta begitu banyak sekolah menengah baharu dan sekolah rendah baharu dalam kawasan Petra Jaya ini jika mahu sebutkan satu per satu.
Janganlah kita membuat tuduhan melulu tiada pembangunan pesat dalam sektor pendidikan.
PKR perlukan penyertaan golongan profesional
Jika mahu dikatakan Petra Jaya masih sama dalam masa sepuluh tahun ini, nampak sangat saudara Sopian Julaihi ini mengada-adakan cerita.
Janganlah kita mengkufuri nikmat Allah yang memberikan kita di Petra Jaya ini begitu banyak kelebihan berbanding kawasan lain semata-mata mahu mendapatkan perhatian.
Mungkin sudah tiba masanya Pakatan Harapan melatih generasi baru pemimpin yang boleh melihat lebih jauh ke hadapan, dalam masa yang sama bergaul dan bermasyarakat dengan kumpulan usahawan yang berjiwa positif menempuh arus persaingan.
Janganlah terlalu mendengar rintihan di kaki lima, dari kumpulan tertentu sahaja dan tidak mahu bergaul dengan anak-anak muda progresif yang berkerja keras mencari rezeki melalui perniagaan serta tidak lagi mengharapkan kerja tetap sebagai penjawat awam atau kontrak ihsan wakil rakyat semata-mata.
Pakatan Harapan perlu merombak sisa-sisa yang tinggal selepas "mass exodus" hampir semua pemimpin berkualiti mereka di Sarawak, dan berhenti berharap kepada kumpulan yang lemah ini jika mahu dihormati, dan seterusnya dipilih mewakili parti itu ke Dewan Rakyat bagi membuat dasar yang mempunyai kepentingan bagi anak Sarawak.
*Sudan Ajang seorang graduan UNIMAS berkecimpung dalam dunia kewartawanan lebih 20 tahun dan baru sahaja berhijrah dari Utusan Borneo. Manakala saudara Abdul Hakim Bujang masih berkhidmat sebagai Cadet Reporter di Borneo Network sejak tahun 2020.