PH banyak omong kosong, dengar boleh percaya jangan


KUCHING— Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Puncak Borneo Datuk Willie Mongin menyeru pengundi tidak terpengaruh dan termakan janji manis Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Beliau berkata, PH hanya berjanji bulan dan bintang yang tidak boleh dipercayai, sekadar menabur omong kosong.


“Sebenarnya PH ini banyak bermimpi di siang hari. Dulu kita ada buku janji PH namun tak banyak dapat ditunaikan. 


Jadi sekarang ini mereka nak menjanjikan bintang dan bulan tapi bagi saya itu semua omong kosong. Malah mantan Perdana Menteri PH ketika itu mengatakan janji itu bukan al-kitab,” ketika ditemui media di sini hari ini.


Katanya, sepanjang pemerintahan 22 bulan PH, iniasiatif yang dilaksanakan tidak memberi kesan dan kebaikan kepada Sarawak.


“Mereka mahu turun dan hapuskan tol, tetapi kita di Sarawak tiada tol. Nampak tak PH telah menganaktirikan Sabah dan Sarawak?,


“Sepanjang tempoh itu kita disisihkan daripada pembangunan. Pengundi patut sedar dan dapat membezakan permata dan suasa,” katanya.


Justeru itu, Willie memohon dan merayu kepada semua pengundi jangan melihat parti lain semasa mengundi pada 19 Nov ini.


“Kemenangan kepada GPS untuk 31 kerusi amat penting untuk Sarawak. Hanya GPS yang terbukti menunaikan janji demi kemajuan, kestabilan dan kegemilangan, katanya.

Next Post Previous Post