Pertembungan tiga penjuru di Betong
Calon kerusi Betong (dari kiri) Patrick, Hasbie dan Dr Richard. |
BETONG— Kerusi Parlimen Betong menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Calon muka baharu dari GPS Dr Richard Rapu @Aman Begri bakal dicabar calon Patrick Kamis (PH-PKR) dan calon Bebas, Hasbie Satar.
Senarai rasmi calon bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya Betong Alfred Geling Ason di Pusat Penamaan Calon (PPC) Bilik mesyuarat, Pejabat Daerah Betong pagi tadi.
Dr Richard, 61, tiba di PPC sekitar 8.30 pagi diiringi pencadang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan penyokong, Timbalan Menteri Pembangunan Masyarat dan Kesejahteraan Komuniti, Mohd Razi Sitam dan kira-kira 2,000 penyokong GPS.
Hadir memberi sokongan bekas penyandang kerusi Betong, Datuk Robert Lawson Chuat Entering dan Timbalan Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Patrick Kamis, 62, pula tiba sekitar jam 8.50 turut bersama pencadang Aripin Kana dan penyokong Jemi Beji serta sekitar 50 penyokong.
Ketiga-tiga calon masuk ke PPC tepat jam 9.00 pagi dan calon Bebas, Hasbie yang tiba awal menyerahkan borang pencalonan empat minit kemudian.
Sejurus itu Dr Richard menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi manakala Patrick menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.11 pagi.
Sehingga tamat tempoh menunggu, hanya tiga orang calon yang menghantar pencalonan masing-masing.
Suasana PPC Betong yang dibuka bermula jam 8 pagi ditutup sekitar jam 11 pagi riuh terdengar sorakan penyokong masing-masing.