Pertembungan 10 penjuru di Batu lakar sejarah, diumum di atas trak

10 calon yang bakal menghangatkan kerusi Parlimen Batu.

KUALA LUMPUR—Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Parlimen Batu hari ini menyaksikan pertembungan 10 penjuru sekali gus mencatat jumlah calon paling ramai sejak 1955.


Berikutan jumlah calonnya yang ramai, pengumuman calon dilakukan di atas trak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di luar pusat penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, bagi membolehkan ia didengari semua calon parti bertanding dan penyokong masing-masing yang berkumpul di luar sekolah itu seawal 7 pagi.


Pengumuman calon bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairul Azmir Ahmad selepas 10 calon itu selesai mengemukakan kertas pencalonan masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di dewan sekolah berkenaan, lapor Bernama.


Selain penyandangnya P. Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH-PKR), kerusi Parlimen berkenaan turut ditandingi empat calon Bebas dan lima lagi calon, masing-masing mewakili Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Warisan, Pejuang yang merupakan parti komponen Gerakan Tanah Air (GTA-Pejuang) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).


BN diwakili Naib Presiden MIC Datuk A. Kohilan Pillay, Azhar Yahya (PN-PAS), Wan Azliana Wan Adnan (GTA-Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Zulkifli Fattah (PRM). 


Mencatat jumlah calon Bebas paling ramai di satu-satu kerusi, pertandingan Parlimen Batu turut menyaksikan kemunculan semula Chua Tian Chang @ Tian Chua yang merupakan bekas ahli parlimen kawasan berkenaan selain peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin atau dikenali dengan gelaran Cleopatra dan Too Cheng Huat. 


Ketika membuat pengumuman senarai calon, Khairul Azmir berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 10 kertas pencalonan daripada calon yang menawarkan diri bertanding bagi parlimen berkenaan.


SPR menetapkan hari mengundi awal pada 15 Nov dan hari mengundi pada 19 Nov.


Pada PRU14, Prabakaran bertanding sebagai calon Bebas yang disokong PKR, menewaskan Dr Dominic Lau Hoe Chai (BN-Gerakan), Azhar Yahya (PAS) dan seorang lagi calon Bebas, Datuk V. M. Panjamothy dengan majoriti 24,438 undi.


Sementara itu, Kohilan ketika ditemui pemberita berkata beliau optimis mampu menambat hati pengundi muda di Parlimen Batu meskipun menyedari ia adalah misi sukar dan mencabar.


“Saya tahu ini adalah misi yang sukar, tetapi saya akan cuba kerana saya berjiwa muda serta banyak agenda pembangunan untuk pengundi muda di kawasan ini akan dirangka oleh BN,” katanya.


Prabakaran pula berkata pertembungan 10 penjuru sudah dijangka dan mengalu-alukan persaingan sihat oleh calon lain.


“Bagaimanapun, saya merayu pengundi di kawasan ini agar membuat penilaian secara berhati-hati dan membuat keputusan yang bijak,” katanya.


Terdahulu, Siti Kasim yang memakai gaun hitam dan memakai aksesori kepala tradisional Orang Asli ketika disapa pemberita lantaran menjadi calon pertama tiba di pusat penamaan, berkata ringkas: “Saya selalu awal, saya benci datang lewat.”


Sekumpulan penyokong Siti Kasim yang terdiri daripada Orang Asli dari Gua Musang turut hadir memberikan sokongan kepadanya. 

Next Post Previous Post