Perikatan Nasional dan BN terus bekerjasama di Sabah
Datuk Seri Hajiji Noor |
KOTA KINABALU, 2 Nov (Bernama) -- Semua ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk terus bersatu hati dan memperkasa muafakat bagi memperoleh kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata muafakat antara GRS-BN amat penting bukan hanya untuk beroleh kemenangan besar pada pilihan raya berkenaan tetapi juga demi menjamin kestabilan politik di Sabah seterusnya menjadi teras kepada pembentukan kerajaan stabil di peringkat Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah itu juga berkata kesatuan GRS-BN sangat bernilai untuk memastikan suara Sabah sentiasa kuat, didengar sekali gus dirasai di peringkat nasional, selain membolehkan hak serta kepentingan negeri terus dipelihara dan diperjuangkan.
"Saya mahu semua penyokong kedua-dua gabungan parti bersatu hati dan (bergerak) sebagai satu jentera di setiap kawasan Parlimen. Saya dan kita semua perlu berlapang dada atas keputusan berhubung kawasan dan juga calon.
"Yang tidak terpilih sebagai calon, jangan sabotaj atau berfikiran negatif (sebaliknya) beri keutamaan kepada muafakat agar calon GRS-BN menang cemerlang. Jika kita bergaduh, tidak dapat apa-apa, semua rugi," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon GRS-BN bagi PRU15 di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar dalam ucapannya turut menasihatkan mereka yang tidak dipilih sebagai calon supaya tidak merajuk atau sedih terlalu lama, sebaliknya perlu terus bangkit menyokong serta membantu kemenangan calon GRS-BN.
Bung Moktar yang turut mempertahan kerusi Parlimen Kinabatangan pada pilihan raya kali ini juga senada dengan Hajiji supaya GRS-BN sepakat memperkukuh kerjasama gabungan kedua-dua parti demi kestabilan politik Sabah sekali gus menyumbang kepada kerajaan stabil di peringkat nasional.
"Bantu calon-calon kita (untuk menang PRU15). Jika BN sahaja menang tetapi GRS tidak... tiada guna, begitu juga sebaliknya.
"Impian kita (GRS-BN) untuk membangunkan Sabah (apabila menang PRU15) dan menjadi sebuah kerajaan stabil yang memahami aspirasi rakyat. Kita sudah pernah merasai kerajaan yang tidak stabil," katanya.
Pada majlis itu, GRS mengumumkan calonnya bagi 13 kerusi Parlimen di Sabah pada PRU15 manakala BN mengumumkan calon di 11 kerusi.
Pengumuman calon dibuat oleh Hajiji dan Bung Moktar itu turut menyaksikan tiada pertembungan berlaku antara kedua-dua gabungan parti pada pilihan raya berkenaan.
GRS-BN merupakan rakan kerjasama yang mentadbir kerajaan Sabah selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 pada Sept 2020.
-- BERNAMA