Peralihan kuasa: SIB mohon penganut berdoa demi keamanan dan kemakmuran
Oleh Sudan Ajang
KUCHING— Sidang Injil Borneo (SIB) menyeru penganut Kristian di seluruh Sarawak terus berdoa agar proses pembentukan kerajaan baharu berjalan lancar.
Presidennya Pastor Bina Agong berkata, pihaknya memahami ketegangan dan ketakutan di kalangan penduduk Sarawak susulan kemelut pemilihan Perdana Menteri ke-10 sebelum ini.
Gereja St. Thomas More di Kampung Kandis Baru di Bau, antara gereja yang dibina menggunakan sebahagian dana UNIFOR. Gambar kredit UKAS |
"Kami ingin menyeru semua penganut Kristian di Sarawak untuk terus mendoakan semua rakyat Malaysia dari semua kaum, agama dan fahaman politik serta bertenang dalam proses pembentukan kerajaan dan Perdana Menteri baharu.
Dalam masa yang tidak menentu ini, marilah kita ingat bahawa Tuhan berkuasa atas urusan manusia, termasuk dalam membentuk kerajaan kita dan pelantikan Perdana Menteri bagi Malaysia. Kami berdoa agar peralihan kuasa berjalan dengan aman, damai” katanya dalam kenyataan hari ini.
Projek pembinaan Gereja BEM Long Urun, satu penempatan Penan. Gambar kredit Muru Info |
Beliau berharap, penganut Kristian dengan rendah hati terus berdoa bersungguh-sungguh agar gabungan parti yang memerintah akan berlaku saksama kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan wilayah.
Sementara itu, Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas Datuk Mutang Tagal berkata, masyarakat Sarawak amat unik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia kerana masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun hidup harmoni.
"GPS mewakili semua kaum di Sarawak seperti Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu. Komitmen kerajaan dalam melindungi kebajikan semua kaum terbukti melalui slogan GPS “Sarawak First atau Utamakan Sarawak' yang menjadi nadi dan landasan perjuangan GPS," katanya lagi.
Satu usaha GPS yang paling penting ialah penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) bertujuan menjaga dan memastikan kebajikan agama-agama lain terus terpelihara.
Ilustrasi Kompleks UNIFOR |
UNIFOR menterjemahkan isi hati GPS, bahawa tiada agama di Sarawak diabai atau dipinggir.
Setiap rumah ibadat dan gereja sama ada di kawasan urban mahupun pedalaman Apoh Baram menerima peruntukan sama rata.
Untuk rekod sejak 2017, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM255 juta kepada UNIFOR bagi membantu badan-badan agama ini membina, membaikpulih dan menaiktaraf rumah ibadah dan gereja.
Kerajaan turut menyalurkan RM215 di bawah Kumpulan Wang Bantuan Pembangunan Khas (SDAF) dan jumlah peruntukan bertambah setiap tahun.
Setiap tahun sejak 2020 hingga tahun ini, sebanyak RM50 juta diperuntukkan berbanding RM15 juta pada 2017, RM20 juta (2018) dan RM30 juta (2019).
Kerajaan turut memperuntuk sejumlah RM15 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh pada 2021 dan tahun ini, dengan jumlah keseluruhan RM30 juta.
Ketika berucap pada majlis penghargaan UNIFOR di Sibu baru-baru ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta untuk UINFOR.
Maknanya pada tahun 2023, akan lebih banyak rumah ibadat dapat dinaiktaraf, atap yang bocor diperbaiki misalnya, dan kampung-kampung yang sebelum ini tidak mempunyai rumah gereja bakal tertunai impian.
Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat berkata, peningkatan dana itu membuktikan GPS sentiasa mengambil berat kebajikan agama lain.
Katanya, langkah ini sudah pasti dapat mengurangkan beban kewangan mereka dalam mengurus dan menyediakan kemudahan yang baik di rumah-rumah ibadat.
“UNIFOR adalah satu kejayaan GPS dalam melaksanakan dasar yang inklusif untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira agama dan kaum,” katanya.