Penolong jurutera JKR didakwa peroleh suapan wang tunai RM10,000


SHAH ALAM—Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memperoleh suapan wang tunai RM10,000 berkaitan kerja membaik pulih sebuah sekolah menengah di Selangor, Mei lepas.


Zabidi Zahari, 35, didakwa secara rasuah memperoleh suapan itu daripada seorang lelaki berusia 35 tahun sebagai dorongan untuk memperaku siap kerja bagi kerja-kerja pembaikan dan baik pulih serta lain-lain, sebuah sekolah menengah bernilai RM354,051.


Perbuatan itu dilakukannya di sebuah restoran di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Bangi, di daerah Hulu Langat pada 17 Mei, lapor Bernama.


Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.


Jika sabit kesalahan, Zabidi boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.  


Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 selain tertuduh perlu melapor diri setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Peguam bela Mohd Baharudin Ahmad Kassim yang mewakili Zabidi memohon pengurangan jumlah jaminan anak guamnya kerana tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dan dia juga menanggung isteri dan anak-anak, ibu serta ibu mentuanya.


Hakim Rozilah Salleh membenarkan Zabidi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap awal bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jan tahun hadapan.

Next Post Previous Post