Penghuni terselamat, orang awam bantu padam kebakaran rumah
Anggota bomba melakukan pemeriksaan keadaan rumah mangsa di Kampung Tiris Bekenu. Gambar kredit Bomba Sarawak |
MIRI—Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan sebuah rumah yang dihuni empat sekeluarga di Kampung Tiris, Bekenu daripada musnah terbakar petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu sekitar jam 7.13 malam dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi.
"Setibanya di lokasi didapati benar ada kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 20x30 dengan anggaran 20 peratus terbakar.
"Tiada operasi dijalankan kerana kebakaran tersebutberjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati kebakaran tersebut hanya melibatkan bahagian dalam iaitu dapur memasak, siling rumah dan peralatan kelengkapan rumah.
Bagaimanapun kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kecederaan dan nyawa.
Difahamkan empat penghuni yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 13 hingga 53 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, setelah memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang dan keadaan selamat pasukan bertolak balik ke balai.