Pemandu tersepit, lori simen terbalik
Keadaan lori muatan simen yang yang terbalik selepas hilang kawalan di bahu jalan menuju Feri Sebauh malam tadi. Gambar kredit Bomba Bintulu |
BINTULU— Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan akibat tersepit selepas lori dengah muatan simen dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan menuju ke Feri Sebauh malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.57 malam itu, mangsa berusia sekitar 40an, hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
Katanya, ketika sampai di lokasi kemalangan, pemandu masih tersepit di ruangan memandu.
“Bomba telah berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dalam jentera.
Mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi tamat sekitar jam 11.10 malam.