PDP tolak kerajaan ekstremis


KUCHING— Parti Demokratik Progresif (PDP) menegaskan pendirian tidak sekali-kali menerima kerajaan ekstremis dalam membentuk kerajaan baharu.


Pengerusinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, PDP menolak kerajaan ektremis yang boleh mencetuskan konflik perkauman.


“Kerajaan yang bakal ditubuhkan harus mengutamakan rakyat dan tidak terlalu taksub dengan agama dan perkauman,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.


Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan.


Al Sultan Abdullah bertitah demikian kepada empat wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Datuk Seri Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Istana Negara, pagi semalam.


Mengulas lanjut, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu menambah, parti menyerahkan kepada budi bicara Al-Sultan Abdullah dalam soal memutuskan kerajaan baharu termasuk calon Perdana Menteri ke-10.


“Tunggulah keputusan Agong selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja hari ini. Apa pun kita akan akur dan patuh kepada keputusan Agong,” katanya.


Tiong dalam pada itu turut menafikan khabar angin beberapa pemimpin parti termasuk beliau meninggalkan parti susulan ketiadaan wakil dari PDP semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.


Difahamkan, Ahli Parlimen Baram Datuk Anyi Ngau sepatutnya hadir namun gagal dihubungi.


“Kami semua menjadi mangsa khabar angin (meninggalkan parti) yang mana tidak benar sama sekali. Saya sendiri berjumpa dan minum bersama dengan Anyi malam tadi.”


“Sebagai rakan seperjuangan, saya faham dan simpati dengan apa yang Anyi lalui.  Beliau bekerja keras selama ini, namun bila hari mengundi kena marah dan maki oleh pengundi gara-gara mengundi dalam keadaan banjir. Sebagai calon, sudah tentu beliau tertekan dan perlu ruang untuk menenangkan diri,” katanya.


Ditanya sama ada beliau menerima tekanan melalui pesanan atau panggilan untuk tidak menyertai PAS, Tiong berkata, perkara itu umpama sudah terang lagi bersuluh.


“Tidak payah tunggu pesanan atau panggilan. Pendirian mengenai perkara ini sudah jelas di media,” katanya.

Next Post Previous Post