Mangsa banjir Kampung Patarikan menginap di hotel
Limpahan Sungai Sindumin sejak semalam menyebabkan sebanyak 75 buah rumah di Kampung Patarikan dinaiki air. Gambar kredit BBP Lawas |
LAWAS— Seorang wanita warga emas terpaksa dipindahkan ke rumah saudaranya malam tadi susulan banjir yang melanda Kampung Patarikan sejak petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim, berkata operasi memindah mangsa berusia 56 tahun itu dilakukan jam 10.50 malam ke rumah saudaranya di Kampung Kuala Lawas.
Anggota BBP Lawas mengadakan pemantauan situasi banjir di Kampung Patarikan. Gambar kredit BBP Lawas |
Katanya, banjir yang berlaku susulan limpahan Sungai Sindumin, Sipitang, Sabah menyebabkan 75 buah rumah melibatkan 260 orang penduduk kampung dinaiki air sedalam tiga hingga empat kaki.
“Pihak kita menerima panggilan mengenai banjir itu jam 5.02 petang Selasa.
Bagaimanapun keadaan banjir masih terkawal dan penduduk kampung tidak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gambar kredit BBP Lawas |
Azman memberitahu hanya sebuah keluarga membabitkan lapan penghuni berpindah dan menginap di hotel di Lawas.
Katanya Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Jabatan Kebajikan dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dimaklumkan berkaitan insiden dan bersedia untuk pembukaan PPS jika perlu.
“Pemantauan dilakukan menggunakan bot dan penduduk kampung dinasihatkan supaya berpindah segera sekiranya trend air semakin menaik,”katanya.