Majlis Raja-Raja Melayu mesyuarat esok bincang pelantikan PM-10
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok bagi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu di Istana Negara esok.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya, lapor Bernama.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu selesai.
"Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti," katanya.
Ahmad Fadil berkata perbincangan khas Raja-raja Melayu itu adalah susulan daripada sesi menghadap wakil-wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara berasingan di Istana Negara pada sebelah pagi hari ini.
“Sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) telah diadakan secara berasingan pada pukul 4.30 petang semalam (22 Nov),” katanya.
“Sesi menghadap ketua-ketua gabungan itu adalah susulan daripada hasil pengesahan calon-calon perdana menteri yang telah dimaklumkan oleh ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik kepada Istana Negara semalam (22 Nov), didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya.
Menurut Ahmad Fadil, proses berkenaan adalah selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
"Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata," katanya, dan menambah Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan kesejahteraan negara.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.
Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.