Lima ciri penting dalam memilih wakil rakyat
Gambar kredit Suara Sarawak |
KUALA LUMPUR—Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin dirasai, namun adakah pengundi terutamanya pengundi baharu bersedia untuk memilih calon yang bakal mewakili mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)?
Persoalan ini mungkin masih berlegar-legar dalam pemikiran pengundi baharu terutama dalam memutuskan calon mana yang akan dipangkah pada PRU-15 kelak.
Dianggarkan lebih 21 juta pemilih berdaftar pada PRU15 ini dengan 58 peratus berada dalam kelompok usia 18 hingga 40 tahun. Belia berusia 18 hingga 20 tahun pula merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan (UKM), Dr Jamaie Jamil berkongsi beberapa ciri penting yang boleh dipertimbangkan oleh pengundi sebelum menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 Nov ini.
"Ciri pertama perlu diambil kira adalah keperibadian calon. Pengundi perlu melihat kepada calon yang mempunyai integriti, berakhlak, bersih yakni tidak terpalit dengan skandal, kontroversi mahupun konflik tertentu.
"Calon berintegriti ini penting supaya apabila beliau dipilih menjadi pemimpin nanti beliau akan dihormati oleh ahli parti, pengundi dan juga lawannya sendiri," katanya kepada Bernama.
Kedua, ketahui apakah idea-idea dan perancangan yang diperjuangkan oleh calon itu selari dengan kepentingan pengundi baharu dan muda.
"Pengundi baharu dilihat tidak berasa terhutang budi dengan jasa mahupun bantuan pemimpin-pemimpin lama. Justeru mereka lebih melihat kepada apa yang ditawarkan oleh calon itu selepas menang dalam PRU," kata Dr Jamaie.
Ketiga, pilihlah pemimpin yang sentiasa ada bersama masyarakat yang diwakilinya dan elak memilih mereka yang hanya muncul semasa pilihan raya.
"Pilihlah calon yang turun padang melihat kawasannya ketika senang, ketika susah, ketika banjir, ketika berlaku kemalangan mahupun bencana, semua lapisan masyarakat di daerah diwakilinya disantuni dan dilayan baik, sama ada di pihak penyokong sendiri atau di pihak lawan," jelas Dr Jamaie.
Manakala ciri keempat, calon yang mahir berkomunikasi.
Menurut Dr Jamaie, kategori ini biasa dilihat oleh pengundi kerana mahukan calon yang dapat menyampaikan visi dan misi yang mudah difahami pengundi selain mampu berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Calon itu juga seharusnya boleh mendengar rintihan rakyat dan menyelesaikan aduan terutama daripada pengundi baharu dan generasi muda.
"Kebolehan ini dapat memberi keyakinan kepada pengundi bahawa wakil rakyat yang bakal dipilih ini mampu membawa isu dan aduan mereka ke peringkat atasan untuk diselesaikan," katanya.
Kelima, pengundi sebaiknya memilih calon yang berpengetahuan luas dalam pelbagai isu dan mempunyai tahap pendidikan tinggi.
"Paling minimum mereka perlulah memiliki Ijazah Sarjana Muda dan jika ada PhD itu dikira satu bonus," kata Dr Jamaie.