Lebih banyak pembangunan di Kota Samarahan jika GPS menang - Rubiah
ADUN Asajaya Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang mengiringi Rubiah ke PPC di Kota Samarahan hari ini. |
KOTA SAMARAHAN—Semangat membara lebih 1,000 penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi “azimat” untuk calon Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kata Rubiah, kehadiran penyokong di pekarangan Dewan Suarah Kota Samarahan tersebut pagi tadi membuktikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada GPS.
“Sebagai calon, saya berharap agar GPS sekali lagi mendapatkan sokongan yang hebat daripada pengundi di kawasan Kota Samarahan.
“Jika diberikan peluang dalam PRU15 ini, saya akan meneruskan visi dan matlamat untuk membawa perubahan Kota Samarahan termasuk telekomunokasi, kesihatan, pendidikan dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas pengumuman nama calon Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen Kota Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Rubiah juga menyeru penyokong GPS supaya dapat terus memberikan sokongan kepadanya dalam PRU15 kelak sekali gus membolehkan mereka menang bergaya.
“Kekuatan kita adalah sokongan, mandat atau kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Kota Samarahan secara keseluruhannya,” tegasnya.
Dalam PRU-14 menyaksikan beliau berjaya menewaskan Sopian Julaihi dari Parti Keadilan Rakyat dan Zulkipli Ramzi dari Parti Islam Se Malaysia (PAS) dengan undi majoriti 16,992 atas tiket Barisan Nasional (BN).