Kami tetap mahu Anwar jadi PM, kata AMANAH Sarawak
Abang Abdul Halil Abang Naili |
KOTA SAMARAHAN—Pakatan Harapan (PH) mahu melihat Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon Parlimen Kota Samarahan (PH-AMANAH) Abang Abdul Halil Abang Naili, 62 berkata, pilihan raya kali ini bukan untuk memutuskan siapa mentadbir kerajaan negeri tetapi menentukan siapa bakal Perdana Menteri Malaysia.
“Individu tersebut juga akan menentukan arah tuju negara ke arah yang lebih baik. Saya berharap rakyat dapat memahami hakikat tersebut.
“Kita mahu melihat PH menang, kita mahu melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman nama calon Parlimen Kota Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, pagi tadi.
Tambah Abang Halil, sasaran beliau adalah lebih tertumpu kepada golongan belia yang mana mahu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak.
“Selain itu, kita juga akan berusaha membolehkan golongan belia untuk membeli rumah kerana ketika ini ramai daripada mereka yang tidak mampu. Terdapat banyak perkara yang akan kita perjuangkan bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga wanita.
“Kota Samarahan terletak di pinggir Kuching, dan mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan khususnya bidang pertanian dan lain-lain yang boleh menjadikan bahagian ini sebagai metropolitan,” jelasnya.
Sebagai persiapan mengahadapi PRU15 ini, juga pihaknya menggunakaan pendekaran di dalam talian dan secara langsung di lapangan.