Jeffery tekad rampas kerusi Miri

Jeffery Phang bercakap di hadapan penyokong sempena pelancaran Jentera GPS Miri petang tadi.

MIRI—  Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Jeffery Phang  tekad merampas kerusi Miri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Jeffery yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) berkata, langkah itu bagi membolehkan lebih banyak pembangunan untuk warga Miri selepas dua penggal di bawah PH.


“Saya bertekad untuk membawa pembangunan dalam beberapa aspek terutama kemudahan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan ekonomi.


Perkara ini adalah keutamaan saya jika diberi kemenangan dalam PRU ini nanti,” katanya berucap pada majlis pelancaran Jentera GPS Miri di sini petang tadi.


Jeffery berkata, kemenangan ini juga akan menjadi mengukuhkan suara GPS di Parlimen dalam memperjuang hak yang termaktud di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Untuk PRU15 ini, saya menyeru rakyat bekerjasama dan memberikan sokongan untuk kemenangan GPS pada 19 Nov kelak,” katanya.


Miri mempunyai 143,229 pengundi dan daripada jumlah itu 40,987 adalah pengundi berusia antara 18 hingga 29 tahun.


Pengerusi SUPP Senadin Datuk Sri Lee Kim Shin menyifatkan Jeffery sebagai ‘manok sabung’ yang berpotensi untuk menawan semula kerusi Miri.


Jeffery bakal ditentang Chiew Choon Man dari (PH-PKR) yang menggantikan penyandang dua penggal Dr Michael Teo dan Lawrence Lai (PSB).

Next Post Previous Post