Jangan ‘pisang berbuah dua kali’

Jangan ‘pisang berbuah dua kali’. Kita mesti sedar dan ambil kira apa yang berlaku semasa pemerintahan PH yang lalu - Abang Johari


KUCHING—Sarawak mahukan kerajaan yang kuat dalam mentadbir negara di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia susulan sejak beberapa tahun ini negara banyak masa terbuang begitu sahaja disebabkan situasi politik yang melanda.



"Seharusnya kita menumpukan pada pelaksanaan dasar yang kita ada untuk rakyat.  


“Ekonomi dunia dijangka mengalami kemelesetan teruk pada 2023 dan 2024, rakyat perlu sebuah kerajaan yang kuat untuk memastikan mereka tidak mengalami kesusahan.


“Bermakna kita perlu mempunyai dasar yang sangat berkesan untuk meningkatkan ekonomi.



Pada masa yang sama,..to make sure there is food on the table..dan itu amat penting bagi kami," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Manifesto Gabungan Parti Sarawak PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.



Dalam pada itu, Pengerusi GPS itu mengingatkan rakyat Sarawak untuk mempelajari pengalaman ketika ditadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.


"Kita mempunyai pengalaman buruk selama 22 bulan semasa di bawah pentadbiran PH. Mereka menjanjikan banyak perkara tetapi tidak ada yang dipenuhi.  


"Malah projek-projek yang diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum PH juga ditarik balik.


"Bak kata pepatah Melayu, jangan pisang berbuah dua kali.  Kita mesti sedar dan ambil kira apa yang berlaku semasa pemerintahan PH yang lalu," katanya.

Next Post Previous Post