Ismail Sabri yakin BN dapat bentuk kerajaan baru dengan kerjasama GPS

Ismail Sabri (dua kanan), Abang Johari dan Fadillah (kanan) semasa merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak

SELANGAU— Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mendapat kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Katanya walaupun GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak bersama BN, namun kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang.


“Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata Ahli Parlimen GPS telah menunjukkan kesediaan mereka untuk tetap bersama dengan Ahli Parlimen BN sewaktu menjadi pembangkang selepas PRU14 dan menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.

Sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sini, hari ini.

“Waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita. Dia tak sertai kerajaan PH semasa itu. Maknanya kita tetap bersama. Bila kita bentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita, pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.


Menyentuh kenyataannya sebelum ini berhubung keyakinan untuk BN memenangi PRU15, Ismail Sabri berkata biarpun kemenangan itu nanti hanya berdasarkan majoriti mudah namun kerajaan akan tetap stabil ekoran penguatkuasaan undang-undang lompat parti.


“Beza sekarang dengan dulu, kalau dulu majoriti mudah itu amat membahayakan kerana masih boleh lompat parti. Sekarang ini dengan akta lompat parti, selepas menang tak ada siapa pun boleh lompat parti. Kalau lompat, dia kena kosongkan kerusi dan masuk pertandingan semula,” katanya.


Sementara itu Ismail Sabri berkata Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas berkemungkinan akan dibentangkan semula dengan penambahbaikan jika BN diberi mandat menerajui kerajaan selepas PRU15.


Katanya sebahagian besar manifesto BN untuk PRU15 berkisar kepada belanjawan berkenaan.


“Ada kemungkinan juga (Bajet 2023 yang dibentang semula) ditambah baik, jadi kita akan tengok selepas PRU nanti. Yang pentingnya kita perlu menang dulu,” katanya.


Dalam ucapannya di majlis itu, Ismail Sabri memberi jaminan Sarawak akan tetap jadi keutamaannya selagi beliau menerajui kerajaan selepas PRU15.


Beliau berkata keutamaan itu adalah mengambil kira soal peruntukan yang akan disalurkan kepada Bumi Kenyalang yang masih memerlukan banyak bantuan dari segi peruntukan untuk pembangunannya.


"Dari segi komitmen untuk menjaga Sarawak ini, tiada tolok bandingnya dengan kerajaan Barisan Nasional, kitalah yang menjaga kepentingan Sarawak,” katanya.


Beliau berkata Kabinet pimpinannya sebelum PRU15 telah mengambil keputusan untuk menyambung semula projek persekutuan yang dibatalkan sebelum ini oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan mengambil contoh projek Seksyen Selangau di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa Kedua.


Katanya projek pembangunan besar lain yang dibatalkan PH namun disambung semula oleh kerajaan pimpinannya turut melibatkan projek jalan raya Trans-Borneo yang melalui Brunei dan projek Sabah-Sarawak Link Road yang tidak melalui negara itu.



Ismail Sabri berkata bantuan untuk Sarawak memperbaiki infrastruktur sekolah daif dan klinik-klinik desa di negeri itu akan juga diteruskan, di samping penetapan sasaran bagi keseluruhan Sarawak mendapat capaian internet dalam tempoh dua tahun.


Bagi membolehkan perancangan diteruskan, Ismail Sabri berharap rakyat di Sarawak akan dapat memberikan sokongan penuh dengan memastikan mereka membuat pilihan yang bijak semasa PRU15.


“Kerajaan dipilih mestilah yang bertanggungjawab, bukan yang membatalkan projek. Jangan tersalah pilihan kerana yang merana adalah kita. Buatlah keputusan yang tepat dalam PRU15 ini untuk  membentuk kerajaan yang dapat membantu Sarawak,” katanya.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar dan beberapa menteri Kabinet Sarawak turut hadir di majlis itu.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 15 Nov adalah hari pengundian awal.

Next Post Previous Post