Hishammuddin tetap tolak kerjasama dengan PH, rela dipecat


KUALA LUMPUR—Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kekal dengan pendiriannya menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).


“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi - tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.


“Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini. No Anwar, No DAP - pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya menerusi catatan di Facebook, lapor Bernama.


Hishammuddin yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong  menerusi catatan di laman sosial Facebooknya semalam menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan PH.


Hari ini Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata kenyataan mana-mana gabungan yang memasukkan BN bersama mereka bagi menubuhkan kerajaan adalah tidak benar.


Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu menyaksikan tiada parti dapat membentuk Kerajaan Persekutuan dengan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Parti Warisan (tiga).


Selain itu, masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.


Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ialah 112 kerusi.

Next Post Previous Post