DUN Sarawak bentang pindaan anti-lompat parti hujung bulan ini
Abang Johari melancarkan Program Sarawakku Sayang di Engkilili hari ini. Gambar kredit UKAS |
KUCHING—Kerajaan Sarawak akan membentangkan cadangan untuk meminda perlembagaan negeri dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata hal itu bagi menyelaraskan perlembagaan negeri dengan peruntukan larangan bertukar parti dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipinda baru-baru ini, lapor Bernama.
Katanya cadangan pindaan itu bagi memperhalusi peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Sarawak terutamanya melibatkan wakil rakyat yang menang atas tiket Bebas atau mereka yang telah keluar parti dan mahu bertukar ke parti lain.
“Hujung bulan ini DUN bersidang dan kita akan pinda Perlembagaan Sarawak dan perbaiki undang-undang anti-lompat parti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Sarawakku Sayang di Engkilili, kira-kira 203 kilometer dari sini, hari ini.
Katanya kerajaan negeri juga akan membentangkan Belanjawan Negeri 2023 dalam persidangan itu yang bakal berlangsung pada 21 hingga 30 Nov ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata rakyat Sarawak perlu berhati-hati dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memberi sokongan kepada calon yang berpolitik demi memperjuangkan hak rakyat dan bukan atas kepentingan peribadi.
Beliau turut menasihati rakyat agar tidak termakan dengan pembohongan mana-mana parti politik yang kononnya berjanji akan mempertahankan hak Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).