Dua anak muda dan calon tua dari PSB di Parlimen Miri
(dari kiri) Lawrence, Chiew dan Jeffery |
MIRI— Parlimen Miri yang didominasi Pakatan Harapan (PH) menyaksiikan pertandingan tiga penjuru dengan dua anak muda dan bekas datuk bandar pertama Miri.
Chiew Choon Man, 31 seorang peguam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak menggalas tanggungjawab besar untuk meneruskan dominasi PH di sini selepas penyandang dua penggal sejak 2013, Dr Michael Teo digugurkan daripada senarai calon.
Seperti mana PH, GPS turut menurunkan calon muda, Jeffery Phang, 48, dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk merebut kembali Parlimen Miri, salah satu kerusi tradisi milik SUPP ketika masih bernaung di bawah panji Barisan Nasional (BN).
Kedua-dua calon muka baharu ini akan ditentang oleh bekas Datuk Bandar Miri pertama, Lawrence Lai dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Lai sebelum ini merupakan pemimpin SUPP, namun keluar dari parti itu untuk menyertai PSB kerana krisis dalaman parti itu yang menyaksikan penubuhan United People Party (UPP) sebelum dijenamakan semula sebagai PSB.
Pegawai Pengurus (RO) Abdul Rahman Taupek selaku Pengurus Pilihan Raya Parlimen Miri mengumumkan nama ketiga-tiga calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Intrim Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, hari ini.
Pada tahun 2013, Teo memperoleh 26,909 undi menewaskan calon BN dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting, yang sekadar mengutip 24,917 undi sementara calon STAR, Chong Kon Fatt meraih 306 undi.
Pada 2018, Teo sekali lagi menentang Sebastian, dan kali ini beliau menang dengan majoriti besar, 13,663 undi.
Ketiga-tiga calon iaitu Chiew, Jeffery dan Lai berdepan cabaran besar meraih undi dan sokongan terutama daripada pengundi 18 tahun di kawasan Parlimen Miri yang memiliki 143,229 pengundi.