DAP terdesak raih sokongan di Sarawak
KUCHING-- Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dilihat terdesak untuk meraih sokongan daripada rakyat di negeri ini dengan menggunakan 'taktik putar belit' dalam cuba memanipulasi fikiran rakyat untuk membenci Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini menerusi kain rentang yang dipasang DAP yang menjadi bahan kempen parti itu untuk memberi gambaran buruk terhadap GPS.
Kain rentang DAP itu tertera "Undi GPS= Undi Umno" "Perasuah Kembali, Rakyat Sudah" yang diletak di bulatan di bawah Parlimen Bandar Kuching.
Keadaan ini jelas menunjukkan sifat terdesak DAP untuk meraih undi masyarakat di kawasan berkenaan sedangkan semua sedia maklum bahawa GPS tidak menyertai mana-mana gabungan atau perikatan di peringkat persekutuan pada PRH15 ini.
Malah, sejak pilihan raya negeri lalu dan PRU15, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS bergerak sendiri tanpa bergabung mana-mana perikatan dengan parti-parti dari Semenanjung.
Jelasnya, kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak ini harus diwakili anak Sarawak sendiri dari parti tempatan iaitu GPS bukannya dari parti-parti yang dipimpin orang luar dan berpusat di Semenanung Malaysia.
Selain itu, jentera DAP juga didakwa cuba berkempen di rumah panjang tanpa permit daripada pihak berkuasa berkaitan pilihan raya.
Satu video dalam hantaran yang tular semalam turut memperlihatkan jentera DAP memasuki sebuah rumah panjang di Sarikei untuk berkempen tanpa permit tetapi mendakwa hanya 'menziarah saudara'.
Perbuatan mereka itu tertangkap oleh calon GPS Datuk Seri Huang Tiong Sii yang meminta mereka membuat permit dahulu sebelum berkempen di rumah panjang berkenaan.