Cuaca baik pada pagi hari mengundi di Sarawak

Cuaca di Sarawak diramalkan baik pada sebelah pagi esok, namun hujan di beberapa kawasan pada sebelah petang

KUALA LUMPUR—Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi di beberapa negeri, pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.


MetMalaysia menerusi laman sesawangnya memaklumkan di Sarawak, cuaca diramalkan baik pada sebelah pagi esok, namun hujan di beberapa kawasan pada sebelah petang.


Bagi Kuala Lumpur dan Perlis, tiada hujan diramalkan pada sebelah pagi, lapor Bernama.


Cuaca di Putrajaya pula dijangka baik pada sebelah pagi dan petang, manakala Melaka dan Labuan diramalkan mengalami cuaca baik, waktu petang.


MetMalaysia turut meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta negeri-negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.


Di Sabah, empat kawasan diramalkan mengalami hujan serta ribut petir pada waktu pagi dan petang iaitu di Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.


Suhu di seluruh negara diramal sekitar 23 darjah Celcius dan maksimum 33 darjah Celcius sepanjang hari pengundian esok.

Next Post Previous Post