Chiew Choon Man calon Miri mula berkempen
Chiew Choon Man menyantuni penduduk di Lutong pagi tadi. |
MIRI— Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Miri Chiew Choon Man memulakan kempen seawal 7.30 pagi dengan bersarapan bersama pengundi di Pasar Lutong pada hari kedua kempen.
Kehadiran Chiew bagi menyantuni peniaga dan pengunjung yang membeli barangan keperluan di pasar tersebut.
Bagi calon berusia 31 tahun itu, kempen di tempat awam ini membolehkan beliau memperkenalkan diri seterusnya mendekati rakyat dengan lebih dekat.
Selepas Pasar Lutong, Chiew berkunjung ke premis makanan di sekitar Tudan dan E-Mart Tudan.
Pada sebelah petang, beliau meneruskan walkabout di Pusat Komersial Centre Point, CoCo Cabana sebelum menghadiri ceramah di Yong Le Kopitiam.
Calon muka baharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini pernah menimba pengalaman sebagai pembantu wakil rakyat di Selangor sebelum kembali ke Miri.
Berasal dari Miri, peguam muda ini pernah menjadi pembantu kepada Ahli Parlimen Selayang, William Leong dari tahun 2017 hingga 2021.
Chiew menyertai PKR selepas mendapat inspirasi Tsunami Rakyat dan agenda reformasi pada 2008 dan kini diberi kepercayaan menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini, Chiew bakal berdepan perlawan tiga penjuru menentang Jeffery Phang (GPS-SUPP) dan Lawrence Lai (PSB).