BN minta tempoh hantar akuan bersumpah dilanjutkan - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR— Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta tempoh masa dilanjutkan bagi menghantar akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ia susulan setakat ini belum ada rundingan rasmi antara pihaknya dengan parti politik lain bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
“Kami ahli-ahli BN telah sepakat menghantar akuan bersumpah (SD) kepada surat yang telah dikemukakan kepada Speaker (Yang Dipertua) Dewan Rakyat mengikut tempoh yang telah diberikan sebelum 2 petang ini.
“(Namun) Kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat memberi sedikit masa yang lebih fleksibel untuk kami mengemukakan SD setelah rundingan dibuat dengan beberapa pihak,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media BN dengan kehadiran 26 ahli Parlimen BN termasuk beliau di Hotel Seri Pacific di sini hari ini, lapor Bernama.
Antara yang hadir ialah Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dan ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mereka adalah antara 30 ahli Parlimen BN yang menang di kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.
Ahmad Zahid berkata bagaimanapun dua ahli Parlimen BN dari Jelebu dan Kuala Pilah tidak hadir kerana demam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa BN tidak pernah membuat perbincangan rasmi bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) ataupun dari mana-mana parti.
“Mana-mana kenyataan yang dikeluarkan bahawa BN telah menyertai mana-mana penggabungan adalah tidak benar kerana tidak ada perbincangan terutamanya dengan PN.
“Dalam hal ini, segala keputusan jawatankuasa rundingan adalah arahan tetap dan wajib diikuti oleh ahli-ahli BN kerana kita bertanding atas tiket BN,” katanya.
Beliau juga berkata mana-mana individu yang menandatangani dokumen untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon perdana menteri adalah tidak sah kerana melanggar ketetapan parti dan SD yang ditangani setiap calon BN.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan timbalannya Salahuddin Ayub memasuki perkarangan hotel berkenaan.