GPS Kingmaker


Anwar dan Zahid tawar jawatan TPM, Muhyiddin cari nahas bertanding di Sarawak


Oleh Sudan Ajang


Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. 


Itulah ibarat hubungan baik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Mana-mana parti yang ingin membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya 19 Nov ini memerlukan GPS.


Persahabatan antara Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin terjalin semenjak mereka muda remaja dalam pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dahulu.


Namun, keutuhan tali persahabatan itu diuji dalam PRN12 yang lalu, sebelum Muhyiddin akhirnya bertindak seolah-olah mahu memutuskannya dalam PRU15 apabila menurunkan empat calon Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau di Sarawak.


Sejak zaman-berzaman, parti Semenanjung yang mempunyai kerjasama dengan parti di Sarawak tidak akan menurunkan calon bertanding kecuali parti yang bersifat bermusuhan dengan kerajaan Sarawak.


GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).


GPS konsisten dengan pendirian untuk tidak melebarkan sayap ke Semenanjung malah menyokong kepimpinan PN di peringkat persekutuan sehingga Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri.


Madu dibalas tuba


Sejak beberapa hari lepas, hubungan tegang antara PN dan GPS menjadi berita utama dalam media arus perdana.


Ketegangan tercetus selepas Muhyiddin mengumumkan empat nama untuk bertanding bagi mencabar calon GPS di Parlimen Sarawak iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar.


Abang Johari (kiri) mengkritik tindakan Muhyiddin sebagai mungkir janji yan kemudian dinafikan mantan perdana menteri itu.


Tindakan PN masih meletak calon di Sarawak mendapat kritikan sebagai memungkiri janji yang telah dipersetujui bersama GPS sebelum PRN12.


Perjanjian itu wujud ketika GPS membuka pintu kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang. 


“Ketika krisis politik di Semenanjung Malaysia, PN merayu bantuan dan sokongan GPS untuk menyokong gabungan sehingga membawa kepada pemilihan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.


Namun bila pilihan raya sudah tiba, mereka memutuskan untuk menghantar empat calon bertanding menentang GPS. Janji perlu ditepati,” kata Abang Johari ketika berucap dalam satu majlis. 


Sebagai manusia, kita mempunyai perasaan simpati untuk membantu orang yang dalam kesusahan. Tidak kisahlah, sama ada dia rakan seperjuangan atau rakan seperjalanan, kita mungkin tidak tergamak melihat seseorang yang datang merayu meminta pertolongan pulang dengan tangan kosong. 


Memang layak dan seharusnya Abang Johari merasai seperti ‘madu dibalas tuba’.


Muhyiddin pula sejak beberapa hari bersilat lidah, menafikan bahawa beliau mengingkari janji yang dibuat kepada GPS bahawa PN tidak akan bertanding semasa PRU15.


Mantan perdana menteri itu mendakwa janji tidak bertanding yang dibuatnya kepada Abang Johari hanya membabitkan Bersatu dalam PRN Sarawak dan bukannya semasa pilihan raya parlimen sekarang.


“Abang Johari kata saya mungkir janji. Siapa mungkir janji?” soalnya.


Ironinya sebelum PRN12, Muhyiddin berjanji untuk bekerjasama dengan GPS dalam PRU15 dan persefahaman itu dicapai dalam mesyuarat bersama Abang Johari selaku Pengerusi GPS.


Muhyiddin ketika melawat India Street di Kuching Disember lalu dipetik berkata, persefahaman itu termasuk Bersatu memberikan laluan kepada GPS dengan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan sebagai timbal balik GPS akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.


Muhyiddin ketika itu memberi jaminan tidak akan lawan sesama sendiri tetapi bekerjasama pada PRU15. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Jika berjanji mestilah ditepati.


GPS lawan siapa saja yang melawan


Abang Johari mahu menjadikan GPS sebagai komponen yang strategik dan penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.


Di Kuching, Timbalan Pengerusi GPS Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan GPS akan melawan sesiapa sahaja yang melawan parti itu.


Ditanya sama ada PN telah mungkir janji, Tengah berkata, “Sama ada dia mungkir janji ke tidak, dia letakkan calon dia di sini. Jadi kita lawanlah, itu terpulang kepada rakyat untuk menentukan .”


Menurut Tengah, Muhyiddin seolah-olah cuba menafikan telah mungkir janji sedangkan sudah terang lagi bersuluh dia mengingkari janji tidak meletakkan calon sebagaimana dipersetujui dalam beberapa mesyuarat sebelum ini.


“Tidak mungkir janji, itu cakap dia lah. Sebenarnya dia bersetuju untuk Sarawak menggunakan platform  kita sendiri iaitu GPS,” katanya.


Mengulas calon PN di Lubok Antu, Tengah mengulangi pendirian akan melawan siapa sahaja yang melawan.


“Kita lawan, sebab itu kita letakkan calon di semua 31 Parlimen. Setakat ini perjalanan kempen berjalan lancar dan mendapat respon yang luar biasa. Kita akan melakukan yang terbaik.


Rakyat sangat yakin dengan GPS dan mereka memberikan harapan kepada Premier kita,” kata Tengah.


Di sebalik ketegangan ini, pemimpin tertinggi GPS memberitahu hubungan kedua-dua GPS dan PN masih dalam keadaan baik.


Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Rabu berkata;


“Ini adalah demokrasi. GPS akan masuk gelanggang berdepan PN di empat kerusi Parlimen itu iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar.


“Walaupun dengan hati yang berat kami akan berdepan dengan mereka (PN) dan kita akan beri ruang kepada pengundi di empat kerusi tersebut untuk menentukan pilihan mereka,” katanya di petik Bernama.


Menurut Karim, tindakan PN bertanding di Sarawak adalah politik, bukan bererti mereka terus menjadi lawan GPS.


Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata masa depan kerjasama dengan PN selepas PRU15 bergantung dengan budi bicara Abang Johari.


“Buat masa ini, GPS tidak terikat dengan mana-mana pakatan politik dari Semenanjung. Beliau (Abang Johari) sebelum ini berpendirian mahu menjadi penentu kerajaan yang kuat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil.


BN dan PH bukan lagi parti dominan di Malaysia


Percakaran antara BN dan PH membuatkan tidak ada lagi satu parti dominan di Malaysia, apatah lagi PAS dan Bersatu turut bersaing menawarkan jenama yang sudah mulai diterima umum, Perikatan Nasional.


Keputusan PRU14 pada Mei 2018 menunjukkan UMNO dan BN mampu ditewaskan selepas 60 tahun memerintah Persekutuan Malaysia.


Walapun BN menjadi sebahagian kerajaan, malah Perdana Menteri dari BN, namun dalam PRU15, gabungan parti ini tidak lagi dominan seperti dahulu.



Dalam PRU14, BN menang 79 kerusi Parlimen, Sarawak adalah negeri sebagai penyumbang terbesar iaitu 19 kerusi.


Namun ketika Parlimen dibubarkan, BN hanya tinggal sebanyak 42 kerusi Parlimen, iaitu Umno sebanyak 38, MCA (2) serta MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah, masing-masing 1 kerusi.


BN yang sudah lama berakar umbi di bumi kenyalang lenyap apabila Abang Johari bersama parti komponen PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar lalu membentuk GPS.


Sementara, PH yang hanya berpeluang menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum tumbang pada 2019 dan digantikan PN.


Episod lucu calon bebal PRU15


Ketika majoriti calon urban menawarkan manifesto bersifat individu untuk dicapai, ada makhluk membantah parti lawan membuat manifesto kononnya parti itu tidak berpeluang untuk menjadi kerajaan. 


Golongan dangkal yang bermatian-matian mempertikaikan mengapa GPS membuat manifesto sedangkan ia cumalah parti minoriti ini lupa Parti Bansa Dayak Sarawak juga ada manifesto, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Sarawak Bersatu juga ada manifesto, malah calon Parlimen Sibu pun ada manifesto. 


Ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia tidak faham atau memang bebal, anehnya dicalonkan pada PRU15 ini. 


Calon PH Parlimen Petra Jaya Sopian Julaihi menyifatkan tindakan GPS menyediakan manifesto sebagai tidak berasas, menimbulkan keraguan kerana bagaimana parti itu dapat membentuk kerajaan persekutuan secara solo dengan 31 kerusi berbanding PH yang bertanding di kesemua 222 kerusi.


“Tidak mungkin mampu membentuk kerajaan secara bersendirian,” katanya.


“Kalaupun GPS dapat membentuk kerajaan gabungan, apa jaminan manifesto itu boleh dilaksanakan memandangkan GPS tidak akan menjadi kelompok majoriti dalam kerajaan campuran,” katanya.


Anehnya calon PKR ini macam boneka sahaja kerana perkara yang dibangkitkan beliau bagaikan siaran ulangan calon "de facto" Petra Jaya yang ditakuti hilang deposit jika dicalonkan. 


Sarawak menjadi Kingmaker dalam PRU15


Sesiapa yang ingin membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya 19 Nov ini memerlukan GPS. 


Sarawak yang mempunyai 31 kerusi dijangka menang selesa dengan jumlah kerusi yang besar, cukup untuk menjadi penentu bagi pembentukan kerajaan baharu kelak.


Abang Johari berkata, beliau mahu menjadikan GPS sebagai komponen yang strategik dan penting dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.


“Barulah kita ada kuasa kita dan orang akan dengar cakap kita. Kalau parti tidak kuat, susah untuk kita menuntut hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak lain yang sudah terhakis.


“Justeru itu, kita harus pastikan kemenangan di semua 31 kerusi. Kita perlu pastikan jumlah Ahli Parlimen GPS bertambah di Dewan Rakyat dalam membentuk kerajaan.


Menurut Abang Johari, hanya melalui parti tempatan Sarawak, kerajaan dapat melindungi kepentingan negeri itu.


Tambahnya, calon-calon GPS adalah insklusif kerana mewakili semua peringkat usia yang berpengalaman luas dalam pentadbiran di peringkat negeri dan persekutuan serta calon wanita.


"Itu perjuangan utama GPS dan ia akan dapat kita kita laksanakan hanya dengan adanya sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil dan bertanggungjawab untuk semua rakyat," katanya.


Hanya melalui parti tempatan Sarawak, kerajaan dapat melindungi kepentingan negeri ini.


"Sogokan atau tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri?


Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata akan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.



Menurut Zahid, jawatan TPM itu boleh digunakan oleh BN Sabah dan GPS sebagai manifesto di peringkat negeri.


Manakala Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menawarkan dua jawatan TPM dari Semenanjung dan Sabah atau Sarawak jika gabungan itu menerajui kerajaan selepas 19 Nov ini.


GPS pula berkata, mereka menyambut baik tawaran BN untuk memberikan slot jawatan TPM, namun mahu jawatan itu mempunyai kuasa sebenar TPM, bukan sekadar atas kertas.


“Kami mahu jawatan yang sebenar supaya ia berfungsi untuk menjaga kepentingan Sarawak, bukan sekadar memenuhi protokol,” kata Abang Johari.

Next Post Previous Post