9 pelajar UiTM terperangkap kepala air diselamat
Semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam operasi yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Gambar Bomba |
PERMAISURI-- Sembilan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun berdepan detik cemas, apabila terperangkap dalam kejadian kepala air petang semalam.
Kejadian berlaku di Lata Hulu Kekabu, Setiu dekat sini kira-kira 5 petang di kawasan seberang sungai yang menjadi lokasi perkelahan orang ramai, lapor Bernama.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan polis dan bomba telah dikerah ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Seramai 31 orang termasuk pegawai dan anggota dari pasukan polis serta bomba, tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.30 petang.
“Didapati kesemua mangsa yang berusia antara 23 hingga 24 tahun, masih terperangkap di bahagian seberang sungai iaitu lokasi orang awam selalu mandi-manda,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Afandi berkata semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam operasi yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah.
Beliau berkata siasatan juga mendapati kesemua mangsa yang mengambil jurusan perakaunan telah masuk ke Lata Hulu Kekabu sekitar 2 petang untuk tujuan rekreasi.
Sehubungan itu, Afandi menasihatkan semua orang awam supaya menangguhkan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun dan sungai dalam keadaan cuaca tidak menentu terutama pada musim monsun timur laut.