3 cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

Anggota bomba membantu mangsa yang cedera dihempap bumbung asrama anak yatim runtuh di Pulau Pinang malam tadi. Gambar FB 

GEORGE TOWN—Tiga penghuni di Wisma Anak Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang di Jalan Scotland di sini mengalami kecederaan selepas bumbung bangunan di bilik asrama runtuh dalam kejadian malam tadi.


Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihak bomba menerima laporan pada 9.42 malam bahawa berlaku runtuhan di wisma yang menempatkan 30 penghuni berusia tujuh hingga 18 tahun itu.



"Sebaik pihak bomba tiba, mereka mendapati tiga kanak-kanak perempuan berusia lapan, 10 dan 13 tahun mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung dalam bilik asrama dan mereka berjaya dibawa keluar oleh dua warden serta rakan.


"Pihak bomba membawa mangsa ke Hospital Pulau Pinang dan berdasarkan pemeriksaan awal, mereka berada dalam keadaan stabil namun doktor akan menjalankan rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, lapor Bernama.



Beliau berkata mangsa berusia lapan tahun cedera ringan manakala yang berumur 10 tahun mengadu sakit di bahagian tengkuk dan seorang lagi di bahagian belakang badan.


Soffian berkata semasa kejadian, kesemua mangsa berada di dalam bilik asrama manakala penghuni lain sedang mengikuti kelas tuisyen, mengulang kaji pelajaran, berehat dan makan.


Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian bumbung di atas bilik berkeluasan 185 meter persegi itu runtuh sebelum menghempap mangsa dan pihak polis bersama bomba telah memutuskan untuk menutup wisma tersebut buat sementara waktu.


"Setakat ini, kejadian tersebut tiada unsur khianat namun kami akan menjalankan siasatan terperinci," katanya sambil menambah penghuni lain akan ditempatkan buat sementara waktu di Wisma Anak Yatim Lelaki Islam Pulau Pinang yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.


Soffian juga berkata sembilan penghuni yang selamat akan menduduki peperiksan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia esok.


Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yussof Latiff pula berkata beliau terkejut dengan kejadian itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menyelamatkan penghuni asrama terbabit.


"Bangunan asrama itu telah beroperasi sejak tahun 1984 dan berada dalam keadaan baik, ia pernah dibaiki dan diubah suai beberapa kali sebelum ini," katanya.

Next Post Previous Post