Wanita warga emas OKU maut dalam kebakaran

Gambar hiasan kredit Unsplash

IPOH— Seorang wanita warga emas maut manakala kakaknya cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Teluk, Kerian awal pagi tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian melibatkan dua beradik Orang Kurang Upaya (OKU) itu pada 5.42 pagi.


Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Tan Ah Nya, 69, dan hanya tinggal berdua di rumah berkenaan bersama kakaknya Tan Boy Soo, 74.


"Kebakaran melibatkan sebuah rumah (yang terbakar) sebanyak 20 peratus dan wanita itu disahkan maut oleh pihak perubatan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai dibantu pasukan dari Kuala Kurau membuat pemadaman sisa kebakaran sepenuhnya dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi tamat pukul 7.30 pagi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post