TPM dari Borneo, bukan kabinet besar - Karim

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING-- Lebih baik lantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sarawak dan Sabah berbanding tubuhkan Kabinet yang besar, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. 


Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan perkara ini harus dipertimbangkan oleh Perdana Menteri Malaysia baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.


 

"Sebagai Naib Presiden PBB, ia tidak salah untuk dipertimbangkan berbanding dengan menubuhkan kabinet yang terlalu besar.


"Ia tidak salah jika kita mampu memberikan jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk dan menstabilkan kerajaan baharu selepas PRU15," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya. 


Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, daripada menubuhkan kabinet sehingga 30 atau 40 anggota, mungkin Perdana Menteri yang baharu boleh menambah bilangan Timbalan Perdana Menteri. 


"Jika perkara itu dapat menggembirakan semua orang, kenapa tidak? Saya juga berharap agar Perdana Menteri baharu nanti akan turut melantik Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah dalam kabinet persekutuan untuk membantu membangunkan kedua-dua negeri itu. 


"Kita dapat lihat pembangunan di Sarawak dan Sabah yang masih ketinggalan, jadi kita masih memerlukan kementerian yang mana menterinya dari Sarawak atau Sabah kerana mereka lebih tahu apakah keperluan di kawasan untuk tujuan pembangunan," tegasnya. 


Tambahnya, ia bukan bererti menteri- menteri dari Semenanjung tidak bagus, tetapi masalahnya ialah mereka jarang sekali turun ke sini. 


"Anda boleh periksa dalam setahun berapa kali mereka datang ke Sarawak. Kita mahu perkara seperti ini berubah, jadi sesiapa pun menjadi Perdana Menteri perlu mempertimbangkan perkara ini," ujarnya. 


Pada masa sama, beliau mengatakan langkah itu hanya boleh dilakukan sekiranya Sarawak dan Sabah menyampaikan sebanyak mungkin kerusi pada PRU15.


"Kalau kita hendak menjadi ‘king maker,’ sekiranya selepas pilihan raya kerusi di Semenanjung berpecah kepada banyak puak, mungkin ketika itu mereka akan memerlukan Sarawak dan Sabah…masa tu kita boleh tuntut. 


"Yang penting sekarang ialah untuk kita menang. Ada 31 kerusi, saya harap rakyat Sarawak akan bersatu (untuk ini)," tegasnya lagi. 


ADUN Asajaya itu turut berkata, jika GPS boleh menang kesemua 31 kerusi atau lebih banyak kerusi, kuasa tawar-menawar Sarawak akan menjadi lebih besar. 


"Saya juga menggesa agar rakyat kita menyokong parti tempatan seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).


"Kita sendiri telah melihatnya berlaku di Sarawak, parti berasaskan tempatan adalah caranya. Kita tidak boleh meminta semua parti yang ditubuhkan dan ketua mereka berpusat di Semenanjung Malaysia untuk menentukan nasib di Sarawak dan Sabah. 


"Nasib kita baik... di sini ada GPS, kita tentukan dan kita buat keputusan sendiri. Kita tidak perlu merujuk kepada Kuala Lumpur," katanya.

Next Post Previous Post