Tipu dapatkan gelaran datuk, peniaga dipenjara lapan bulan


KUALA LUMPUR—Seorang peniaga dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menipu seorang wanita bagi mendapatkan gelaran Datuk membabitkan kerugian RM100,000.


Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdullah Shafiq Abdul Rahman, 36, selepas Abdullah Shafiq mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 5 Okt lepas.


Abdullah Shafiq didakwa menipu Norazlita Slamat,57, juga peniaga dengan memperdayakannya untuk membuat bayaran RM100,000 secara dalam talian ke akaun bank milik tertuduh bagi urusan mendapatkan gelaran Datuk dari Melaka.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Ismail di sini pada 4 Okt lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran dengan mengambil kira keberanian tertuduh menggunakan nama istana untuk melakukan penipuan.


Abdullah Shafiq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga dan isteri.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post