Tiong kecewa, mahu kajian Sungai Rajang, Igan dipercepat
Tiong ketika meninjau keadaan banjir di sekitar Sibu semalam. |
SIBU— Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing menggesa Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyegerakan kajian terhadap sungai Rajang dan Igan.
Tiong berkata dengan data kajian yang ada, kerja-kerja mengorek dasar sungai dan pelan tebatan banjir yang lebih berkesan boleh dilaksanakan.
“Daripada peruntukan sebanyak RM10 juta yang diluluskan kerajaan Sarawak untuk kajian sungai Rajang dan Igan, hanya RM2.8 juta telah dikeluarkan setakat ini dan keadaan ini sama sekali tidak memuaskan dan sangat mengecewakan.
“Perubahan iklim dan pemanasan global terus bertambah buruk tahun demi tahun menyebabkan musim hujan tidak menentu, menjadikan kerja untuk mengorek dan mendalamkan dasar sungai lebih mendesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata disebabkan keadaan itu, pihak berkuasa perlu segera mengeluarkan baki RM7.2 juta untuk mempercepat kemajuan kerja ukur dasar sungai itu kerana penduduk yang terjejas tidak boleh lagi hidup dengan kesan perubahan iklim.
Tiong berkata beliau telah membawa hal itu kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, justeru beliau menggesa Dr Sim dan JPS untuk segera mengeluarkan baki peruntukan bagi tujuan itu.
Pada masa ini, katanya aras air di Empangan Bakun berada pada tahap membimbangkan dan jika melepasi paras amaran, air perlu dilepaskan.
Hujan lebat sejak beberapa hari telah mengakibatkan banjir kilat di banyak kawasan rendah di Sibu dan selama beberapa dekad, penduduk terutamanya petani amat tertekan dengan bencana yang berlaku.
“Banjir menghanyutkan semua tanaman yang diusahakan, manakala tingkat bawah kediaman dua tingkat pula tenggelam bersama-sama harta benda yang rosak dan musnah sekelip mata.
“Kerugian ekonomi dan trauma dihadapi penduduk amat berat,” katanya.
Tiong berkata banyak kawasan di Sibu terjejas oleh kenaikan paras air, namun kawasan di Bintangor dan Sarikei yang terletak di hilir sungai Rajang tidak dilanda banjir besar, membuktikan bahawa kawasan di hulu sungai Rajang berkelodak menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.
-- BERNAMA